Program Kelestarian Alam Sekitar SULAM: Pelajar KPK UiTM Shah Alam di bawah kursus Leadership and Professional Ethics for Engineers (CPE680) Menyinari Komuniti PPDK Sinar Harapan

Shah Alam, 11 Disember 2023 – Dengan penuh semangat dan komitmen, pelajar Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) UiTM Shah Alam telah berjaya melaksanakan Program Environmental Sustainability di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sinar Harapan pada 9 Disember 2023.

Program yang dirancang dengan teliti di bawah kursus Leadership and Professional Ethics for Engineers (CPE680) ini melibatkan 19 orang pelajar dari program CEEH220. Dalam usaha untuk menyokong kelestarian alam sekitar, empat aktiviti utama telah dirancang, iaitu pembuatan sabun, lilin, gel wangian ruang, dan sabun kreatif.

Azlan bin Petrus, Pengarah Program, berkata, “Kami sangat gembira dengan kerjasama dan semangat gigih yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar KPK. Program ini bukan hanya mengajar mereka tentang kelestarian alam sekitar tetapi juga membuka mata mereka terhadap keusahawanan dan tanggungjawab sosial.”

Aktiviti-aktiviti tersebut menggunakan minyak masak terpakai sebagai bahan utama, memberi peluang kepada peserta untuk menghasilkan produk yang boleh dijual dan pada masa yang sama, memberikan pendidikan mengenai kitar semula dan penggunaan sumber secara bijak.

Pelajar juga menjalankan aktiviti perkongsian ilmu dan demonstrasi untuk membantu peserta memahami lebih mendalam tentang proses pembuatan produk. Wakil dari Malaysian Society for Environmentally Sustainable Development (MASMED) turut memberikan perkongsian ilmu untuk meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan.

Selain memberi manfaat kepada komuniti PPDK Sinar Harapan, program ini turut membawa peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran interpersonal, kepimpinan, dan memberi mereka pengalaman praktikal yang bernilai. Program Environmental Sustainability KPK UiTM Shah Alam mendapat sokongan daripada SPE Student Chapter UiTM Shah Alam, MASMED UiTM Shah Alam, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.

Dengan berakhirnya program ini, pelajar dan penyelia berharap inisiatif ini dapat menjadi titik permulaan untuk lebih banyak program kelestarian alam sekitar di masa depan, serta memotivasikan komuniti untuk mengamalkan gaya hidup lestari.