Keluhuran Perlembagaan adalah prinsip ketiga dalam Rukun Negara Malaysia. Keluhuran (کلوهورن) didefinisikan sebagai keagungan, kemuliaan, kebesaran manakala perlembagaan (ڤرلمباݢاءن) pula merujuk kepada undang-undang atau peraturan negeri, dasar pemerintah negeri (Kamus Dewan Edisi Keempat). Oleh itu dalam konteks Rukun Negara, prinsip keluhuran perlembagaan menekankan betapa pentingnya seluruh rakyat Malaysia, bukan hanya sekadar memperakui Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia, tetapi juga menghayati, mematuhi dan mempertahankan keluhuran, atau kemuliaan perlembagaan itu sendiri.
Perlembagaan Persekutuan ini telah dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957 bersempena tarikh Hari Kemerdekaan Malaysia. Perlembagaan ini wujud berasaskan keselarian nilai tempatan negara dan kontrak sosial yang dikatakan sebagai perjanjian di antara kaum Bumiputera dengan kaum lain di negara ini. Oleh itu wajarlah setiap warganegara menghayati intipati perlembagaan ini agar tidak berlaku pertikaian yang berpunca daripada tidak cakna tentang peraturan atau undang-undang yang telah digariskan.
Antara perkara yang digariskan dalam perlembagaan adalah berkaitan tatacara pembentukan kerajaan persekutuan dan bidang kuasa di peringkat negeri-negeri, kedudukan Raja-raja Melayu, pemilihan dan pemasyhuran Yang di-Pertuan Agong, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, kedudukan agama Islam dan lain-lain.
Justeru perlembagaan ini adalah sumber perundangan yang berfungsi untuk memberi perlindungan kepada setiap warganegara, tidak mengira kaum, kepercayaan agama dan budaya. Di samping itu, perlembagaan melindungi hak kewarganegaraan serta mengawal tatakelola pentadbiran kerajaan yang diuruskan oleh kepimpinan masyarakat. Merujuk kepada Perkara 4, Perlembagaan Persekutuan ditakrifkan sebagai undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.
Dalam konteks hubungan etnik, unsur-unsur perlembagaan menjadi titik tolak bagi memupuk perpaduan antara kaum. Perlembagaan ini juga memastikan wujudnya keadilan sosial antara kaum-kaum di Malaysia. Contohnya Perkara 3 menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan namun agama-agama lain bebas diamalkan dengan aman dan damai. Perkara 153 Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain. Contoh akhir sekali, Perkara 8 yang menyatakan kesamarataan semua orang di sisi undang-undang.
Natijahnya, Rukun Negara ketiga yang menyebut Keluhuran Perlembagaan satu rukun yang mengangkat keabsahan undang-undang utama Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara dan menjadi panduan dalam segala hal yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan, dan hak sosio-ekonomi rakyat berbilang kaum serta agama di Malaysia. Akhir sekali, Perlembagaan Persekutuan menjadi tunjang utama dalam penubuhan sebuah negara yang merdeka. Maka selayaknya masyarakat mengetahui dan memahami isi kandungan perlembagaan supaya tidak timbul salah faham atau kurang jelas tentang struktur perjalanan pentadbiran negara. Oleh itu, prinsip Keluhuran Perlembagaan bukan sahaja sekadar ungkapan di bibir tapi sewajarnya dihayati supaya keharmonian, kedamaian dan kestabilan negara dapat dicapai.