Program Roadtour Commercialization BITCOM ke UiTM Cawangan Pahang telah berlangsung pada 29 Jun 2022 bertempat di Dewan Al-Biruni 2 yang dihadiri oleh delegasi dari Business Innovation and Technology Commercialization Centre (BITCOM), Universiti Teknologi MARA dan para penyelidik UiTM Cawangan Pahang yang akan membentangkan hasil inovasi mereka.
Delegasi BITCOM terdiri daripada Profesor Madya Ir Ts Dr Syed Shatir Asghrar Syed Hassan, Pengarah BITCOM, Dr Farizah Mohamed Isa, Timbalan Pengarah Perundangan dan Pengurusan Harta Intelek BITCOM, Dr Fazleen Haslinda Mohd Hatta, Ketua Perlesenan Teknologi dan Pembangunan Perniagaan BITCOM, Dr Julina Tajul Ariffin, Ketua Komunikasi dan Media BITCOM, Dr Muhamad Helmi Muhamad Khair, Koordinator Pengurusan Undang-Undang dan Harta Intelek BITCOM, Cik Aisyah Mohd Yasim, Koordinator Promosi dan Publisiti BITCOM, dan Dr Mohd Azri Ab Rani, Pengasas Dr Azri’s Perfume. Turut sama hadir adalah Profesor Dr Wan Mohd Nazri, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Pahang dan Encik Mohammad Khair Mohd Seni, Timbalan Pendaftar, UiTM Cawangan Pahang.
Program ini adalah salah satu inisiatif BITCOM di mana satu jelajahan ke semua kampus UiTM di Malaysia telah dibuat bagi mencari hasil-hasil projek inovasi yang boleh dikomersilkan. Ini juga salah satu usaha untuk mengetengahkan dan mewarwarkan hasil-hasil projek inovasi ini kepada pihak industri yang berminat untuk membuat kolaborasi bersama-sama warga UiTM. UiTM Cawangan Pahang telah membentangkan 15 projek yang telah sedia untuk dikomersilakan daripada 5 kumpulan penyelidik.
Pembentang pertama adalah daripada Encik Muhd Eizan Syafiq Abd Aziz dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik, yang telah membentangkan satu sistem yang dinamakan sebagai e-Confirmation Letter System. Pembentang kedua adalah Cik Suria Fadhillah Md Pauzi dari Fakulti Undang-Undang, dengan produk SOCO V.5: Enhancing Public Trust On Hospitality Industry Through Understanding The Law. Pembentang ketiga Encik Mohd Yusri Mohamad Noor dari Akademi Pengajian Bahasa, telah membentangkan projek Mobile Apps yang bertajuk Easy English Tenses.
Dua pembentang terakhir telah membawa lebih dari satu projek dengan Encik Ahmad Fauzi Awang @ Othman dari Pusat Pengajian Industri Perkayuan membentangkan dua produk iaitu An Apparatus for Cooking dan Faudry (Oil Palm Trunk). Pembentang terakhir adalah daripada Kumpulan Accounting on the Block yang diwakili oleh Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad, Pn Norlaila Md Din dan Junaidah Jamaluddin dari Fakulti Perakaunan yang telah membentangkan 10 produk dari fakulti beliau iaitu AOTB Helirides and Eagleeyes, AOTB Board Game Advance, AOTB Board Game, AOTB Card Game, AOTB Card Game Basic, AOTB Android Apps, AOTB Picture Game, De Beste Cyclus, Pocketto Maths 1.0 and Simmatch. Apa yang menarik dengan kumpulan terakhir ini ialah, product De Beste Cyclus telah dibentangkan oleh pelajar Diploma Perakaunan bahagian 4 yang diwakili oleh Nurul Amni Zulkefli, Muhammad Izzuddin Abd.Rahman dan Muhammad Amri Alias. Produk permainan kitaran perakaunan ‘off-line’ yang dihasilkan oleh pelajar ini adalah sangat praktikal untuk digunakan oleh pelajar yang baharu mendalami ilmu perakaunan.
Kesemua 15 produk telah mendapat maklum balas yang sangat positif daripada pihak BITCOM dan dengan sedikit penambahbaikan, diharapkan kesemua produk dapat dikomersilkan dengan berkesan sekali di peringkat dalam mahupun luar negara. Secara keseluruhannya program ini telah berjaya mencapai matlamat dan objektif seperti yang dirancang dengan keterlibatan para peserta yang memberangsangkan.