Bengkel Pengukuhan Kursus ‘Financial Accounting and Reporting’ UnIPSAS

2-3 JULAI 2022 – Jabatan Perakaunan, Fakulti Pengurusan dan Informatik, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) telah menganjurkan Bengkel Pengukuhan Kursus ‘Financial Accounting and Reporting’ bagi tujuan membantu pelajar-pelajar Ijazah Sarjana perakaunan memahami dan menghayati Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) dan kaedah pembelajaran efektif.

Dua pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang, Haji Azizi @ Hamizi Hashim dan Norlaila Md Din telah bertindak sebagai penceramah bagi bengkel yang berjalan selama dua hari ini. Secara tidak langsung aktiviti yang dijalankan ini telah menjadi pengisian MOU yang telah dimeterai di antara UiTM Cawangan Pahang dan UnIPSAS yang dirintis oleh Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) pada 17 Disember 2021.

Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang juga menyahut saranan negara untuk mencapai Sustainable Development Goals (SDG) yang keempat iaitu SDG 4: Pendidikan Berkualiti. Sebagai makluman, SDG juga dikenali sebagai Matlamat Pembangunan Lestari. SDG menggariskan 17 matlamat yang ingin dicapai menjelang tahun 2030. SDG ini menangani cabaran global yang kita hadapi, termasuk yang berkaitan dengan kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar, keamanan dan keadilan. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang komited dengan matlamat ini dan telah mengambil langkah-langkah untuk menerapkan strategi-strategi SDG.