BERTAM, 17 Ogos 2023 – Bahagian Pentadbiran Universiti Teknologi Mara Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam (UiTMCPP Kampus Bertam) telah menganjurkan Program Rewang Merdeka Bubur Asyura bertempat di dewan terbuka kampus pada 14 Ogos 2023. Program yang diadakan bersempena bulan kemerdekaan iaitu bulan Ogos dan bulan Muharam mengikut kalendar Islam, secara tidak langsung mengimbas sejarah kemerdekaan dan kisah di sebalik simbolik bubur asyura.
Objektif program memberikan impak yang besar kepada suasana harmoni di dalam kampus dan mewujudkan ukhuwah yang erat di kalangan semua staf. Pengarah Program, Puan Norazah Abdul Rahman dan ahli jawatankuasa program telah menyusun gerak kerja sehingga aktiviti berjalan dengan lancar dan tamat dengan jayanya. Penglibatan staf UiTMCPP Kampus Bertam amat menggalakkan dengan menyumbang tenaga dan bekerjasama tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Penyediaan bahan dan memasak dijalankan secara bergotong-royong bermula pukul 8 pagi dan bubur asyura berjaya diagihkan kepada semua staf kampus sebelum pukul 2 petang. Jamuan makan tengahari turut disediakan secara bersama sesuai dengan penggunaan perkataan rewang yang mana merujuk kepada bekerjasama dan saling bantu membantu.
Encik Amir Heberd Abdullah, Penolong Rektor UiTMCPP Kampus Bertam di dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran kerja yang sihat dan saling bekerjasama supaya semua staf gembira untuk hadir bekerja dan melaksanakan tugas dan amanah dengan efisien. Program sebegini adalah landasan yang menggabungkan sifat manusiawi dan toleransi di samping menerapkan jati diri Islam dan cintakan negara.
Agihan bubur asyura kepada semua staf adalah perlambangan kepada yang banyak dan sedikit perlu dikongsi bersama supaya semua dapat merasa. Justeru, program separuh hari seperti ini perlu diteruskan untuk mengekalkan suasana gembira di tempat kerja dan mewujudkan jalinan kerjasama antara bahagian di dalam kampus.