Reka Bentuk Model Kampus yang bercirikan Kelestarian dalam Program “The Innovation Of Young Engineers 2024”

Pada 20 Januari 2024 yang lalu, Pengajian Kejuruteraan Awam (PKA) UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka dengan kerjasama Persatuan Pelajar PKA, Civil Engineering Students Society (CESS) telah menganjurkan Program The Innovation of Young Engineers 2024 di Bangunan Infra Sains Teknologi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Program ini melibatkan semua pelajar bahagian 1 dari Diploma Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka yang mengambil kursus Introduction to Civil Engineering (ECM157).

Objektif program ini adalah menggalakkan pelajar menggunakan daya inovasi dan kreativiti mereka dengan menghasilkan projek model kampus yang bercirikan kelestarian dalam bidang sosial, ekonomi dan alam sekitar. Setiap model yang dihasilkan perlu dilengkapi dengan pelbagai fasiliti seperti bangunan akademik, bangunan pentadbiran, kolej, tempat letak kenderaan dan sebagainya. Program ini juga dapat memupuk semangat kerjasama antara ahli kumpulan dan meningkatkan kemahiran berkomunikasi untuk menyelesaikan tugasan yang telah diberikan. Kemahiran-kemahiran tersebut adalah amat penting dan dapat diguna pakai dalam alam pekerjaan akan datang.

Para peserta telah mula mendaftar pada pukul 8.00 pagi dan disediakan minum pagi di Dewan At-Tabari. Selepas itu, para pelajar diberikan taklimat pembentangan oleh Penasihat Program iaitu Puan Ainamardia binti Nazarudin dan bergerak ke tempat pembentangan mengikut kumpulan masing-masing bagi persediaan pembentangan model. Pada jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, sesi perbentangan dan penjurian projek telah berlangsung. Seramai 14 orang panel juri yang dilantik dikalangan pensyarah dan pensyarah kanan PKA UiTM Jengka, Pahang telah melaksanakan penjurian berdasarkan rubrik Pembentangan Projek ECM157 yang merangkumi kemahiran berkomunikasi pelajar, konsep reka bentuk model, kualiti model, elemen kelestarian dan kreativiti pelajar dalam menghasilkan model.

Program diteruskan dengan Majlis Penutup Program The Innovation of Young Engineers 2024 yang dirasmikan oleh Ketua Pusat Pengajian Kejuteraan Awam UiTM Jengka, Pahang, Ts. Zulhafizal bin Othman. Seterusnya, upacara penyampaian hadiah diberikan kepada kumpulan yang mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga berdasarkan markah penjurian. Selain itu, hadiah saguhati turut diberikan kepada semua kumpulan yang telah menyertai Program ini. Majlis Penutup diakhiri dengan sesi bergambar bersama para hadirin dan jamuan makan tengahari.

Bagi pihak PKA dan CESS, kami berterima kasih kepada pihak pengurusan UiTM Jengka Pahang yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama dalam melaksanakan Program yang melibatkan inovasi dan kelestarian seperti ini. Kami berharap program ini dapat diteruskan lagi dan mendapatkan sokongan daripada pihak pengurusan UiTM Jengka Pahang. Semoga dengan berakhirnya program ini, para pelajar dapat memantapkan kemahiran dalam kerjaya sebagai juruteknik kejuruteraan awam dan juga mengaplikasikan pengetahuan kelestarian yang diperolehi pada masa akan datang.