Tanggal 18 Mac 2020 merupakan satu tarikh yang akan menjadi sejarah buat semua rakyat Malaysia berikutan pada tarikh tersebut, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama telah dilaksanakan di seluruh Malaysia. Kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan yang amat baik dengan menghadkan pergerakan semua rakyat berikutan penularan virus COVID-19 yang membimbangkan di Malaysia. Walaubagaimanapun, tidak dinafikan perlaksanaan PKP telah banyak menjejaskan aktiviti pekerjaan dan sosioekonomi rakyat pada ketika itu. Turut terkesan, institusi pendidikan juga menghadapi kesukaran dalam menghadapi perlaksanaan PKP. Institusi pendidikan tinggi merupakan satu institusi yang amat menitikberatkan penyelidikan di kalangan warganya. Amalan penyelidikan agak terganggu dengan pergerakan yang terhad di mana pelajar-pelajar pasca-siswazah tidak dapat meneruskan aktiviti penyelidikan di makmal dan pensyarah juga pelajar tidak lagi dapat menyertai pembentangan kertas kerja penyelidikan secara bersemuka yang mana semuanya telah mula dilaksanakan secara atas talian.
Walaupun semua warga pendidik IPT menghadapi perkara yang sama, ini tidak menjadikan mereka satu alasan untuk terus mempergiatkan aktiviti penyelidikan dan penulisan. Ini dapat dilihat dengan banyaknya penganjuran persidangan dan juga pertandingan inovasi secara atas talian. Setelah setahun lebih mendepani norma baharu ini, pensyarah-pensyarah sudah mula dapat membiasakan diri mereka dengan memikirkan langkah yang boleh diambil bagi menghadapi kekangan pergerakan ini demi untuk memastikan indeks prestasi utama (KPI) tahunan mereka dapat dipenuhi. Tidak ketinggalan, Pusat Pengajian Sains (PPS) UiTM Cawangan Pahang telah berusaha memikirkan strategi bagi meningkatkan prestasi penyelidikan dan penulisan di kalangan pensyarah.
Pada 4 Jun 2021 yang lalu, PPS telah melaksanakan e-Kolokium PPS yang merupakan aktiviti tahunan pusat pengajian tetapi berikutan PKP ianya telah dijalankan secara atas talian. Bagi mendepani norma baharu di waktu penularan virus COVID-19 ini, PPS tidak mahu tewas dengan kekangan yang dihadapi dan sentiasa memikirkan cara untuk meningkatkan prestasi warganya. Penganjuran e-Kolokium ini mendapat sambutan yang baik di kalangan pensyarah PPS di mana 10 orang pembentang telah bekongsi kepakaran atau hasil penyelidikan mereka secara atas talian dan telah disertai oleh 50 warga PPS yang lain. Tujuan e-Kolokium ini dilaksanakan adalah bagi mempergiatkan aktiviti penyelidikan di kalangan pensyarah di mana dapat meningkatkan peluang kolaborasi merentas bidang yang mana PPS terdiri daripada 3 tunjang utama iaitu bidang Fizik, Biologi dan juga Kimia. Sesi perkongsian ini dapat membuahkan idea baru untuk meningkatkan lagi prestasi penyelidikan mereka.
Hasil dari pembentangan pensyarah telah diterjemahkan dalam bentuk penulisan artikel dan telah diterbitkan bersama dengan 20 artikel lain sumbangan daripada warga PPS. Kesemua 30 artikel telah dikumpulkan dalam Buletin E-PPS edisi khas 2021 yang telah diterbitkan pada 30 Julai 2021 yang lepas. Penerbitan buletin ini telah membantu PPS dalam usaha untuk mencapai KPI MyRA UiTM Cawangan Pahang bagi kategori lain-lain penerbitan. Selain aktif menulis kertas kerja dan menerbitkan banyak artikel dalam jurnal terindeks dan berimpak tinggi, PPS juga aktif menulis pelbagai artikel penerbitan seperti buletin, majalah dan bab dalam buku penyelidikan.
Selaras dengan keperluan Sustainable Development Goals (SDG), SDG 4 iaitu kualiti pendidikan, PPS akan terus menyumbang kepada keperluan Universiti bagi meningkatkan lagi ranking Universiti dan menaikkan nama UiTM di mata dunia. PPS yang diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian, Dr. Muzamil Mustaffa amat berterima kasih dengan kerjasama dan usaha yang tidak putus-putus daripada warganya dalam usaha mendepani norma baharu bagi meningkatkan penyelidikan, penerbitan dan inovasi yang seterusnya akan meningkatkan lagi pencapaian PPS dan UiTM Pahang amnya. Semoga cabaran yang dihadapi sekarang dapat dihadapi dengan baik oleh semua pensyarah. Kekal berada di rumah dan teruskan menulis dan menimba ilmu. “Jika seorang mencari ilmu, maka itu akan tampak di wajah, tangan, dan lidahnya serta dalam kerendahan hatinya kepada Allah.” – Hasan al-Bashri