PUSAT EKO-PELANCONGAN PERTAMA KAMPUNG ORANG ASLI MENGGUNAKAN PANEL SOLAR UNTUK JANAAN TENAGA ELEKTRIK

Penduduk Kampung Orang Asli Tonggang di Ulu Kinta, Perak gembira apabila mencatat sejarah menerima manfaat bekalan pencahayaan elektrik percuma di Pusat Eko-Pelancongan mereka menerusi kerjasama projek perintis di antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Perak dan Kedah pada 26 Ogos 2023.

Projek perintis ini merupakan inisiatif dibangunkan Universiti Teknologi MARA (UITM) Cawangan Perak yang telah melibatkan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Temiar untuk menjana pendapatan komuniti melalui pusat eko-pelancongan itu. Projek kelestarian ini telah dibiayai geran dalaman UiTM iaitu Geran Kolaborasi Entiti Penyelidikan UiTM (KEPU) melalui kumpulan penyelidik Green Safe Cities (GreSAFE).

Inisiatif membangunkan sistem tenaga solar sebagai bekalan pencahayan elektrik di pusat eko-pelancongan kampung itu dibuat berikutan pusat eko-pelancongan masyarakat orang asli di sini masih tidak mendapat bekalan elektrik sepenuhnya daripada jam 7 malam hingga 6 pagi setiap hari yang menyukarkan penggunaan pusat tersebut.

Dengan inisiatif projek ini, ia akan meningkatkan tahap keselamatan kawasan serta membantu membangunkan ekonomi pusat pelancongan tersebut yang boleh meningkatkan pendapatan bulanan masyarakat orang asli di sini.

“Sebanyak 10 panel solar dengan kuasa 10-watt sehingga 100-watt telah dipasang di pusat eko-pelancongan itu bagi membekalkan pencahayaan tenaga elektrik secara berterusan di waktu malam. Malah menerusi sistem ini, orang asli di sini telah diajar secara teori dan praktikal tatacara untuk menyelenggara sendiri sistem solar yang dipasang dan ia adalah program pertama yang dilaksanakan khusus untuk pusat eko-pelancongan milik masyarakat orang asli seumpama ini” menurut Ketua Projek, Profesor Madya Sr Dr Nur Azfahani Ahmad. Beliau turut menambah usaha ini akan turut mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 7, iaitu mencapai tenaga bersih yang berpatutan, serta SDG 11, iaitu membentuk komuniti yang lestari.

Turut hadir di dalam program ini ialah Encik Mohd Farizal Mohd Zakhir, Pegawai Kemajuan Orang Asli, Daerah Kinta dan Kampar, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak dan Kedah, Encik Mohd Murad Mohd Jamri, wakil Pembangunan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak dan Kedah, barisan pensyarah Kolej Alam Bina, UiTM Cawangan Perak, serta 30 orang masyarakat Orang Asli Tonggang di Ulu Kinta, Perak.

Posted Under