TAPAH, 5 April 2023 – Jabatan Fizik, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak Kampus Tapah telah mengadakan kempen “Physics Outreach 2.0” kepada para pelajar Diploma Sains (AS120). Program yang bermula pada jam 2.00 petang ini diadakan di Auditorium Zeta Fasa 1 UiTM Kampus Tapah yang dihadiri lebih 50 orang pelajar. Ia adalah bertujuan untuk menarik minat para pelajar semester 3 dalam memilih aliran Fizik pada semester 4 dan 5, seterusnya memilih aliran kerjaya dalam bidang Fizik. Menerusi kempen ini, pelajar juga didedahkan dengan kepentingan hukum Fizik yang diaplikasikan dalam kehidupan harian secara mendalam tanpa disedari. Selain itu, pelajar mendapat pelbagai input serta informasi yang sangat berguna jika memilih aliran Fizik sebagai pilihan kerjaya dan juga peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang Fizik ke peringkat yang lebih tinggi.
Pengarah program ini yang juga selaku penyelaras Bidang Fizik, Puan Nurul Aimi Zakaria telah merancang program ini sebaiknya dengan menjemput Profesor Fizik Bahan dari The Islamia University Bahawalpur, Pakistan, Prof. Dr Khaawaja Imtiazullah dan Pensyarah Kanan Jabatan Fizik, Dr Nurul Ilham Adam. Sesi pertama dimulakan dengan pengenalan kepada bidang Fizik oleh Dr Nurul Ilham. Beliau menjelaskan pelbagai impak sebagai pelajar sains dalam kehidupan seperti kita dapat memahami undang-undang alam semesta yang secara tidak langsung dalam setiap aktiviti harian kita. Melalui kefahaman yang tinggi dalam ilmu Fizik, kita juga daapat melihat dunia dari perspektif yang berbeza. Beliau turut memberi input mengenai penyelesaian masalah yang boleh diselesaikan secara unik dan kreatif dengan menggunakan konsep Fizik. Lebih menarik, ilmu Fizik juga mampu menjadikan kita seorang penyelesai masalah yang baik selain dapat melihat semua cabaran kehidupan dalam perspektif perbezaan.
Sesi kedua diteruskan dengan pembentangan daripada Prof. Dr Khaawaja tentang kajian terkini beliau bersama kumpulan penyelidik Fizik Bahan dari Islamia University Bahawalpur dalam penyelidikan yang melibatkan bahan polimer untuk diaplikasikan dalam bidang Bioperubatan juga peranti elektronik. Beliau turut mengetengahkan kepentingan ilmu sains terutamanya mengenai bidang Fizik dalam peluang kerjaya seiring dengan desakan arus teknologi terkini. Beliau juga turut tidak menafikan cabaran dan tekanan yang pelajar harus tempuhi dalam memahami sesuatu ilmu sains yang harus ditukarkan dan dianggap sebagai satu cabaran dalam hidup. Hal ini kerana ilmu Fizik sering dikatakan sangat sukar difahami dan juga semakin tidak mendapat sambutan dalam kalangan generasi muda masa kini. Beberapa orang pensyarah Fizik juga hadir mengikuti program ini serta berkongsi pandangan bersama kedua-dua penceramah.