MUKAH, 13 Julai 2023 – Yang Berhormat Encik Abdul Yakub Bin Hj Arbi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N58 Balingian hari ini telah menghadiri dan merasmikan Program Bicara Ilmu bertemakan “Keusahawanan Belia, Tunjang Masa Depan Koperasi, Pemangkin Ekonomi Negara” bertempat di Dewan Sri Balau, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Mukah. Program yang dianjurkan secara bersama oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Mukah ini bertujuan memberikan pengetahuan kepada siswa dan siswi UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah berkaitan perniagaan dalam usaha memantapkan belia koperasi dalam bidang keusahawanan di negeri Sarawak. Melalui koperasi, belia dalam kalangan siswa dan siswi UiTM berpeluang untuk memajukan diri dan keluarga dalam bidang keusahawanan, dan seterusnya membantu meningkatkan pendapatan usahawan belia koperasi di negeri Sarawak.
Program yang dihadiri seramai 300 orang pelajar dan kakitangan UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah ini merupakan satu kolaborasi yang amat baik dengan menyuntik elemen keusahawanan dalam aktiviti Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), dan memberi peluang lebih ramai siswa dan siswi dan masyarakat untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan. Menariknya program ini diisi dengan sesi perkongsian ilmu koperasi dan keusahawanan daripada Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sarawak dan juga Koperasi Siswa UiTM Selangor Berhad.
Sehubungan itu, adalah menjadi harapan penganjur untuk melihat penubuhan Koperasi Siswa UiTM Kampus Mukah tidak lama lagi. Institut Koperasi Malaysia (IKMa) sebagai pusat latihan yang bertanggungjawab dalam pembangunan modal insan koperasi, dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai badan kawal selia koperasi, akan sentiasa membantu untuk memastikan harapan ini menjadi kenyataan. Ini bertepatan dengan saranan kerajaan yang menggalakkan masyarakat untuk menceburi bidang perniagaan sebagai kerjaya pilihan orang ramai terutamanya golongan belia.
Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini, akan sentiasa memberikan komitmen tidak berbelah bagi dalam usaha untuk memperkasakan gerakan koperasi selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) yang menyasarkan sumbangan perolehan koperasi sebanyak RM100 bilion menjelang tahun 2030. Hasil usaha ini akan dapat dicapai apabila Kementerian bersama agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kepentingan koperasi, sentiasa berusaha mengukuhkan prestasi dan produktiviti pelbagai sektor koperasi, sebagai salah satu penyumbang utama dalam usaha meningkatkan ekonomi negara. Turut hadir dalam program ini Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) Institut Koperasi Malaysia, Encik Mohd Zaib Mat Yunus, Penolong Rektor UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah, Profesor Madya Dr Abdul Razak Abdul Kadir, Puan Siti Maimunah Hj Jerni, Pengarah Institut Koperasi Malaysia Zon Sarawak dan Encik Mohamad Noor Firdaus Bin Fadzil, Ketua Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Sarawak.