Projek Golden Melon Pelajar Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka

Pahang, Mac 2023 – Saudara Adam Bin Zakaria, Pelajar Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka merangkap Ketua Projek Golden Melon bagi musim ketiga penanamannya tersenyum indah apabila hasil tuaian Golden Melon barjaya menemui peminatnya. Projek Golden Melon yang dianggotai oleh 3 orang pelajar FPA Kampus Jengka (Adam Zakaria, Afiq Ilham Z Sukri dan Muhammad Zharfan Mohammad) adalah dibawah bimbingan penuh Encik Mohamad Amir Shah Bin Yusop selaku penasihat projek.

Penanaman Golden Melon musim ketiga ini masih ditanam melalui kaedah fertigasi namun ianya telah ditambah baik apabila penanaman ini adalah sepenuhnya dijalankan dibawah rumah lindungan hujan. Penanaman yang mengambil masa tiga bulan dari tempoh penyediaan kawasan, penanaman, penjagaan sehingga kepada proses penuaian hasil telah berjaya melabuhkan tirainya apabila hasil tuaian habis dijual pada 10 Mac 2023.

Melihat kepada warna kuning keemasan buah Golden Melon yang ditambah dengan kualiti permukaan kulit buah yang tiada cacat celanya mampu memukau pandangan pengunjung yang hadir. Kerangupan, kemanisan rasa serta bau yang wangi memikat hati setiap yang merasanya. Pemasaran Golden Melon dibawah Adama Global Enterprise masih mengekalkan Tagline “Rangup, Manis, Wangi” bagi memastikan setiap buah yang sampai kepada peminatnya mencapai kualiti yang telah ditetapkan.

Konsep jualan terus dari ladang menarik minat pembeli untuk hadir terus ke Tapak Fertigasi Golden Melon bagi mendapatkan buah mengikut kehendak masing-masing. Pemasaran Golden Melon pada musim ini amat memberangsangkan apabila UiTM Cawangan Pahang menjadi tuan rumah kepada Karnival Sukan Staf UiTM (KARISTA) 2023. Terdapat banyak permintaan daripada staf yang hadir dimana setiap yang merasai kesedapan buah Golden Melon ini pasti akan membawa pulang ke kampus masing-masing. Kepada yang tidak berkesempatan untuk datang ke tapak fertigasi penghantaran secara COD juga dilaksanakan bagi memastikan setiap buah sampai kepada peminatnya.

Penanaman Golden Melon musim ketiga ini telah melabuhkan tirainya setelah tiga hari tirai jualan dibuka. Semoga fenomena Golden Melon ini dapat diteruskan lagi pada musim keempat penanaman.