PROGRAM “ZERO WASTE BEACH CLEAN-UP” DI PANTAI KELANANG

KUALA LANGAT, 20 Mei 2023 – Program “Zero Waste, Beach Clean-Up” telah berjaya dilaksanakan yang melibatkan para pelajar dari Kolej Pengajian Alam Bina dan Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM Shah Alam di Pantai Kelanang. Program “Zero Waste, Beach Clean-Up” merupakan sebuah program komuniti yang dianjurkan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Pembinaan dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian. Program komuniti yang bermatlamatkan tanggungjawab sosial ini telah diadakan di Pantai Kelanang, Banting, Selangor melibatkan 180 orang pelajar dari 2 Kolej Pengajian iaitu Kolej Pengajian Alam Bina (KAB) dan Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Empat orang pensyarah yang turut serta di dalam program ini menjadikan program ini lebih terpandu dengan nasihat dan panduan yang diberikan secara langsung dan tidak langsung. Terdapat 11 portfolio jawatankuasa utama yang diwujudkan bagi memastikan kelancaran dan aspek keselamatan program berada pada tahap yang maksimum.

Program yang berlangsung pada 20 Mei 2023 ini telah bermula pada pukul 9.30 pagi dan berakhir sekitar 4.00petang ini melibatkan sebanyak 5 buah bas dari Unit Kenderaan UiTM Shah Alam ini digunakan sebagai pengangkutan utama pelajar dan membawa barang-barang keperluan program dalam kelancaran program. Dua impak aktiviti yang digariskan sebagai agenda utama bagi program ini adalah kemahiran berkomunikasi dan kemahiran kerja berpasukan. Justeru itu, dua aktiviti yang diwujudkan adalah pembersihan kawasan persisiran pantai dan aktiviti pemindahan ilmu (knowledge transfer) kepada masyarakat awam mengikut tema utama program iaitu “Zero Waste, Beach Clean-Up”. Aktiviti pembersihan pantai ini telah berjaya mengumpulkan sampah kitar semula sebanyak 111.21kg dan sampah bukan kitar semula sebanyak 331.70kg. Jumlah keseluruhan kutipan sampah adalah sebanyak 442.91kg.

Sejajar dengan objektif utama program, aktiviti pemindahan ilmu juga diadakan bagi meningkatkan kemahiran berkomunikasi pelajar. Semoga dengan adanya program seperti ini dapat memberi manfaat dan kelebihan kepada kepada jatidiri pelajar serta mempertingkatkan lagi kualiti kurikulum yang telah direkabentuk selain menyebarkan kesedaran keindahan pantai kepada masyarakat setempat dan pelancong sekitar. Selain itu, dapat membantu komuniti setempat dalam pembangunan mikro ekonomi dengan menjadikan kawasan Pantai Kelanang ini sebagai salah satu tempat pelancongan domestik mahupun antarabangsa dengan menarik pelancong dari luar komuniti sedia ada dengan adanya pantai yang lebih bersih.