Pusat Pengajian Kimia dan Alam Sekitar (PPKAS), UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah telah menganjurkan pertandingan Young Reporter Environment 3.0 yang berlangsung dari 10 Oktober 2023 sehingga 22 Disember 2023 yang lalu. Program ini disertai oleh para pelajar Sarjana Muda Kimia dan Pengurusan (AS222) yang mendaftar subjek Kimia Alam Sekitar (CHM576) pada sesi semester ini. Pertandingan ini dianjurkan bersempena Hari Alam Sekitar Negara yang disambut pada 21 Oktober setiap tahun. Tujuan utama pertandingan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran para pelajar tentang isu semasa dan kepentingan menjaga alam sekitar.
Pelajar diberi tugasan untuk melaporkan isu berkaitan alam sekitar mengikut kreativiti masing-masing menerusi penghasilan video pendek berdurasi 3 hingga 5 minit. Pelbagai topik telah dipilih oleh pelajar untuk dilaporkan antaranya seperti pemanasan global, banjir kilat, pencemaran laut, hakisan tanah, dan bahaya sisa elektronik. Seramai 30 pelajar telah mengambil bahagian dan kesemua hasil video perlu dimuat naik di dalam saluran YouTube masing-masing untuk dinilai.
Majlis penutup program ini telah dilaksanakan pada 4 Januari 2024 pada minggu “Week Without Wall, (WWW)”. Sesi perkongsian bersama MetMalaysia turut dianjurkan sebagai pengisian program penutup disamping mengumumkan pemenang pertandingan. Puan Zureen Norhaizatul Che Hassan, pegawai MetMalaysia di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah berkongsi peranan-peranan yang dimainkan jabatan meteorologi dalam menghadapi bencana. Usaha ini juga merupakan salah satu daripada inisiatif kolaborasi pengajaran bersama pihak industri. Majlis turut disertai oleh rakan pensyarah dari pelbagai jabatan lain. Majlis telah diakhiri dengan persembahan montaj dan penyampaian hadiah kepada 3 pemenang utama dan 5 pemenang saguhati. Hasil keberkesanan program menunjukkan 100% pelajar mengakui program ini mencapai objektifnya dan diharap dapat diteruskan di masa akan datang.