Program Webinar Rahsia Aura Wanita 2021

Program Webinar Bicara Tokoh: Rahsia Aura Wanita 2021 telah dianjurkan oleh Unit Kepimpinan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar bersama Majlis Perwakilan Pelajar sesi 20/21, UiTM Cawangan Pulau Pinang dengan matlamat untuk berkongsi ilmu kepada warga UiTM Cawangan Pulau Pinang secara amnya dan UiTM SeMalaysia bahawa golongan wanita pada hari ini mampu tampil dengan penuh ketrampilan dalam memberi sumbangan khidmat bakti pada pembangunan diri, keluarga dan universiti. Bukan itu sahaja, program ini juga memberi pendedahan berkaitan kepimpinan wanita di tahun 2021. Senyuman manis seorang wanita akan menambah pancaran auranya. Sesungguhnya aura seorang wanita itu luar biasa.

Program ini yang julung kali diadakan dengan penampilan khas YBhg. Professor Ts. Dr. Salmiah Kasolang, Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang selaku penceramah jemputan yang akan berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan topik Rahsia Aura Wanita 2021. Beliau merupakan Rektor wanita pertama di UiTM Cawangan Pulau Pinang dan juga Rektor yang kesembilan universiti. Pakej kepimpinan dan pengalaman yang ada pada beliau cukup disegani dan dihormati oleh warga UiTM Cawangan Pulau Pinang. Program bersama Majlis Perwakilan Pelajar sesi 20/21, UiTM Cawangan Pulau Pinang ini juga turut menampilkan moderator dikalangan mahasiswi. Penampilan moderator yang penuh bersemangat, Nur Qamelya Yusman selaku Naib Yang Dipertua 2 cukup menghangatkan topik yang dibincangkan.

Program ini telah berlangsung pada 17 Februari 2021 bermula jam 3.00 petang hingga 4.30 petang di platform atas talian FB Hal Ehwal Pelajar UiTM Pulau Pinang. Program ini terbuka untuk warga UiTM SeMalaysia. Meskipun program ini secara atas talian, namun ia mendapat sambutan yang amat baik dari kalangan pelajar dan kakitangan UiTM. Seramai 942 orang pelajar UiTM yang hadir menonton. Program yang asalnya dirancang untuk pelajar tetapi kehadiran kakitangan UiTM seramai 544 orang amat membanggakan. Semoga program ini memberi kesan dan impak kepada yang hadir.