Seramai 131 orang pelajar Semester 2 Diploma Pengurusan Ladang (AT110) Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) yang terdiri daripada 69 orang pelajar siswa dan 62 orang pelajar siswi telah pulang ke UiTM Cawangan Pahang (UCPh) Kampus Jengka untuk menjalani Latihan Industri 1 (FPA210) di Ladang UiTM bermula pada 13 Ogos 2021 sehingga 10 Oktober 2021. Di antara pelajar tersebut terdapat 34 org pelajar yang masih belum divaksin. Justeru bagi menyokong kempen yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mempercepatkan serta menggalakkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) mengambil vaksin dalam usaha membentuk gelembung kampus yang selamat dan membantu mencapai imuniti kelompok, pihak FPA dengan kerjasama pihak pengurusan tertinggi UCPh telah membawa pelajar-pelajar yang masih belum divaksin itu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat bagi menjalani proses vaksinasi.
Program pemberian vaksin dos pertama pada 7 September 2021 (Selasa) serta dos kedua pada 30 September 2021 (Khamis) jam 9 pagi kepada pelajar FPA UCPh telah berlangsung dengan jayanya di PPV yang bertempat di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang. Seramai 34 orang pelajar yang terdiri daripada 17 orang siswi dan 17 orang siswa yang sedang menjalani UiTM telah terlibat dalam program vaksinasi ini. Semua pelajar yang terlibat mendapat suntikan vaksin jenis Pfizer.
Program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya atas kebenaran dan kelulusan daripada pihak pengurusan tertinggi UCPh yang terdiri daripada YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan (menjalankan tugas Rektor UCPh), YBrs. Prof. Madya Dr. Hajah Nazirah Ramli (Timb. Rektor HEA UCPh) dan YBrs. Dr. Mohd Kamal Azman Bin Jusoh (Timb. Rektor HEP UCPh) yang sentiasa cakna akan kesihatan warga UiTM terutamanya para pelajar. Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak pengurusan tertinggi UCPh kerana sentiasa prihatin dengan kesihatan para pelajar dan menyokong sepenuhnya program vaksinasi kebangsaan ini. Keselamatan para pelajar amatlah dititikberatkan dan penjarakan sosial antara pelajar sentiasa dijaga semasa program ini berlangsung.
Program ini juga mendapat kerjasama daripada Ketua Pusat Pengajian (KPP) FPA UCPh iaitu Puan Fazidah Rosli serta pihak Unit Kesihatan UCPh yang banyak membantu dalam melicinkan perjalanan program ini. Terima kasih diucapkan kepada Unit Kenderaan UCPh kerana telah menyediakan 2 buah bas untuk membawa pelajar-pelajar ini dan terima kasih juga diucapkan kepada staf UiTM yang bertugas sebagai sukarelawan di PPV terbabit.
Pelajar-pelajar ini telah diiringi oleh 2 orang pegawai pengiring yang terdiri daripada pensyarah FPA iaitu Puan Raihana Hani Zawawi selaku Penyelaras FPA210 dan Cik Nurulatika Minhad selaku Koordinator Pengurusan Ladang.
Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjalankan program ini. Diharapkan semoga dengan berlangsungnya program vaksinasi ini dapat meningkatkan kesihatan warga UiTM serta para pelajar khususnya dalam membendung wabak COVID-19 daripada terus menular.