Menyahut seruan program UiTM Prihatin yang telah dilancarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pada 24 September 2020 yang lalu, Jabatan Fizik dan Sains Bahan dengan kerjasama Unit Pra Pendidikan Tinggi UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah telah menganjurkan program Food Bank Siswa dengan mengedarkan kit bekalan makanan kering kepada 31 orang pelajar Pra Diploma Sains yang mengikuti sesi pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL) di kolej kediaman masing-masing.
Inisiatif Food Bank Siswa ini bertujuan untuk menyalurkan bantuan bekalan makanan kepada mahasiswa yang memerlukan terutamanya daripada kumpulan B40, sekali gus meringankan kos perbelanjaan seharian mahasiswa yang berada di kolej sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung. Sumbangan kit makanan tersebut mengandungi bahan makanan ‘ready-to-eat’ seperti biskut, roti, mi segera, minuman 3 dalam 1 serta bijirin oat.
Majlis penyampaian kit bekalan makanan ini telah diadakan di ruang atas Anjung Seri Perpatih, Kampus Kuala Pilah pada 9 Februari 2021 yang lalu, disempurnakan oleh Puan Allina Nadzri selaku Koordinator Jabatan Fizik dan Sains Bahan, serta dihadiri oleh barisan pensyarah Fizik di kampus Kuala Pilah. Ia juga telah dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah dengan mengambil kira penjarakan fizikal dan pemakaian topeng muka.
Menurut Puan Allina Nadzri, program bantuan bekalan makanan sebegini akan diedarkan secara berkala pada masa akan datang dan harapannya lebih banyak sumbangan yang diterima daripada warga kampus. Tambahannya lagi, melalui penganjuran program ini, ia memberi ruang kepada setiap warga untuk berkongsi rezeki dan memupuk sifat prihatin terhadap kebajikan pelajar.
“Dalam program Food Bank Siswa ini juga, stok makanan ‘ready-to-eat’ turut diletakkan di satu sudut khas di Pusat Islam Kampus Kuala Pilah untuk keperluan pelajar yang memerlukan. Program sebegini dapat direalisasikan dalam tempoh PKP di mana ia sedikit sebanyak dapat memberi suntikan semangat kepada para pelajar menghadapi peperiksaan akhir secara atas talian di kampus,” katanya sebelum mengakhiri ucapan.