Program “TOGETHER AGAINST COVID-19”

Program “TOGETHER AGAINST COVID-19” adalah program yang telah berjaya dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Penang Student Nursing Association (PENSA) pada 13 November 2020. Mengambil kira dengan situasi pendemik COVID-19 yang sedang melanda seluruh negara, program ini telah dijalankan secara maya menggunakan aplikasi Google Meet. Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan mahasiswa tentang bahayanya wabak Covid-19 serta cara menghindarkan diri daripada wabak Covid-19. Selain itu juga, program ini telah memberi pendedahan mengenai pentingnya mengamalkan amalan “Norma Baharu” untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Program ini telah disertai oleh seramai 337 orang mahasiswa dari pelbagai program di Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam. Program telah dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Ahmad Afif Jazimin dan diteruskan lagi dengan ucapan aluan oleh Pengarah Program. Program ini telah diserikan dengan kehadiran penceramah jemputan iaitu Puan Zurina Bt Osman yang merupakan Jururawat Terlatih dari Hospital Pulau Pinang. Beliau juga adalah petugas barisan hadapan yang ditugaskan semasa penularan pendemik Covid-19 ini. Dalam perkongsiannya Puan Zurina telah mengupas tentang langkah-langkah menangani penularan wabak Covid-19.

Selain ceramah yang telah disampaikan, mahasiswa juga diberikan maklumat mengenai pemakaian pelitup muka (mask), penggunaan forehead thermometer, penggunaan hand sanitizer dan cara mencuci tangan dengan betul melalui tayangan video yang telah disediakan.

Program yang berlangsung selama dua setengah jam ini juga turut dimeriahkan  dengan sesi soal jawab yang telah dijalankan menggunakan platform Kahoot. Kebanyakkan mahasiswa telah melibatkan diri dalam sesi tersebut dan hadiah telah disediakan bagi tiga orang mahasiswa yang berjaya menjawab dengan markah yang tertinggi.

Dengan penganjuran program ini, diharap mahasiswa dapat memanfaatkan dan mengaplikasikan segala pengetahuan yang mereka perolehi dalam menangani penularan wabak Covid-19. Semoga program sebegini dapat diteruskan di masa hadapan bagi memastikan rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan.