Program Sungkai (Iftar) Kaseh Ramadan – Jom Kongsi Rezeki Bersama Pewani UiTM Cawangan Sabah

KOTA KINABALU, 18 APRIL 2023 – PEWANI UiTM Cawangan Sabah dengan Kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) UiTM Cawangan Sabah, Staf Residen Kolej (SRK) serta Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM Cawangan Sabah telah bekerjasama dalam menjayakan program khidmat masyarakat melalui Program Sungkai (Iftar) Kaseh Ramadhan bermula 1 Ramadhan sehingga 27 Ramadhan pada tahun ini. “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seumpama sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai serratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (KurniaNya) lagi maha mengetahui. (Al Quran, Surah Al-Baqarah ayat 261). Dengan #jomkongsirezeki, PEWANI UiTM Cawangan Sabah mengajak orang ramai berkongsi rezeki dan menyumbang juadah iftar serta menyebarkan kebaikan membantu pelajar kolej kediaman dengan menyediakan juadah iftar kepada pelajar B40.

Agihan set iftar di agihkan secara berpusat (20 pek sehari) di Dapur BHEP Kolej Kediaman UiTM Cawangan Sabah iaitu di Kolej Mabul, Kolej Manukan dan Kolej Mantanani yang disertai keseluruhan oleh 60 petugas yang terdiri dari kalangan wakil pelajar- JPK dan Sekretariat JPK. Jumlah keseluruhan agihan sumbangan set iftar sepanjang program berlangsung adalah 1620 pek juadah iftar telah diagihkan kepada pelajar UiTM Cawangan Sabah. Semoga rezeki yang dikongsikan bersama pelajar ini mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah SWT serta membantu pelajar yang kurang berkemampuan. “Hai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebagian dari rezeki yang telah Kami anugerahkan kepadamu sebelum datangnya hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi syafa’at. Dan orang-orang yang kafir itulah orang-orang yang zalim.” – Al- Quran, Surah Al-Baqarah ayat 254.