Jengka, Pahang, 13 Januari 2023 – Kelab Planters’ Guild (PG’s) UiTM Cawangan Pahang dengan jayanya telah menganjurkan program pertandingan sukan antara bahagian, “Agro Interpart” pada hari Jumaat bersamaan 13 Januari 2023 yang lalu bertempat di Kompleks Sukan UiTM Pahang. Program ini telah melibatkan seramai 455 pelajar Diploma Pengurusan Ladang (DPIM) dan Pra-Diploma Perladangan, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), UiTM Cawangan Pahang. Seramai 10 orang pensyarah turut hadir bagi memeriahkan program tersebut yang merupakan pertama kali diadakan selepas pandemik COVID-19 melanda negara ini.
Di antara objektif utama penganjuran program ini adalah bagi menggalakkan interaksi yang aktif dan sihat di kalangan warga FPA, melahirkan mahasiswa yang sihat fizikal dan mental serta memupuk nilai-nilai murni melalui aktiviti bersukan. Aturcara majlis telah dimulakan sekitar jam 3.00 petang dengan ketibaan warga fakulti, diikuti dengan taklimat pembukaan oleh pengarah program, Cik Natasya Bayumi bt Mat Nasir pada jam 3.30 petang. Program tersebut kemudiannya diteruskan dengan aktiviti senaman pemanasan badan.
Seterusnya, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan berdasarkan aktiviti sukan yang dipertandingkan dan mula bergerak ke padang untuk memulakan perlawanan. Di antara aktiviti sukan yang dipertandingkan pada hari tersebut adalah futsal, bola jaring dan diakhiri dengan acara sukaneka. Program yang berakhir sekitar jam 6.45 petang telah menyaksikan juara keseluruhan dirangkul oleh para pelajar bahagian 5 DPIM, manakala naib johan telah dimenangi oleh para pelajar Pra-Diploma Perladangan.
Secara ringkasnya, program “Agro Interpart” FPA 2023 telah berlangsung dengan lancar mengikut perancangan yang telah ditetapkan. Objektif program juga secara keseluruhannya telah berjaya dicapai. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program ini.