Lawatan Kerja Ketua Pustakawan UiTM ke Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau

TAWAU: Ketua Pustakawan UiTM, Encik Jamalludin Haji Sulaiman telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau pada 20 Februari 2023 yang lalu.

Lawatan kerja beliau turut diiringi oleh Ts. Haji Azizi Haji Jantan, Ketua Timbalan Pustakawan UiTM dan Encik Romi bin Rampun @ Ramlan, Timbalan Ketua Pustakawan UiTMCSH.

Terdahulu, kedatangan rombongan ini yang tiba pada 19 Februari 2023 telah disambut mesra oleh Koordinator Kampus, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling dan Pegawai Eksekutif Kanan, Encik Asmad Mohd Noor serta staf PTAR Tawau dalam majlis ringkas bersama Ketua Pustakawan.

Lawatan kerja Ketua Pustakawan ke Kampus Tawau dimulakan dengan melawat ruang pejabat, persekitaran perpustakaan serta sesi ramah mesra dan soal jawab bersama warga PTAR. Disamping itu, perkongsian dari Ketua Pustakawan semasa sesi lawatan menjadi semangat serta motivasi warga PTAR UiTMCSH untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan serta membantu merealisasikan aspirasi perpustakaan UiTM seiring dengan matlamat UiTM untuk menjadi Universiti Terkemuka menjelang tahun 2025 (GRU2025).

Sesi lawatan Ketua Pustakawan berakhir pada jam 2.30 petang dan seterusnya bergerak ke Lapangan Terbang Tawau pada hari yang sama. Rombongan tersebut mengadakan sesi lawatan kerja selanjutnya di UiTMCSH Kampus Kota Kinabalu yang telah berlangsung pada 21 Februari 2023.