Program SPI ‘Ka-C Ja-D Ba’ Siri 4 UiTM Cawangan Sabah

TAWAU, 12 OGOS 2022: Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah mengadakan program Sesi Perkongsian Ilmu (SPI) ‘Ka-C Ja-D Ba’ siri keempat dengan mengetengahkan Encik Rahmat Kaparang, Jurulatih Asas Memanah Tradisional dan Timbalan Presiden Kelab Pemanah Tradisional (PETRA), Tawau yang juga merupakan Pembantu Pustakawan Kanan, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR).

Cukup menarik juga, program kali ini telah melibatkan latihan kecergasan sukan memanah yang turut dimeriahkan oleh YBrs. Koordinator Kampus, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling bersama-sama warga staf bertempat di perkarangan Bangunan Pustaka Ilmu, UiTMCSH Kampus Tawau. Latihan kecergasan sukan memanah ini bermatlamat untuk menerapkan nilai-nilai murni seperti kesabaran, memegang teguh ajaran Islam di samping melatih diri menjadi lebih fokus dalam melakukan tugas seharian di kalangan staf.

Sebelum bermula, semua staf yang hadir terlebih dahulu mendengar taklimat ringkas daripada jurulatih berkaitan perbandingan komponen alatan memanah tradisional dan moden.

“Aspek keselamatan amat perlu diutamakan oleh seorang pemanah agar tidak berlaku kecederaan pada diri sendiri mahupun orang lain yang berada di lokasi memanah,” kata Encik Rahmat.

Sementara itu, seorang peserta, Cik Dg. Normah Ag. Taib berkata beliau menjadikan sukan memanah ini sebagai hobi yang dilakukan pada masa lapang.

“Kita perlu memberikan tumpuan seratus peratus agar busur yang dilepaskan terkena tepat di tengah-tengah bulatan yang berwarna kuning, titik permukaan sasaran,” jelasnya.

Sebagai info, program SPI ‘Ka-C Ja-D Ba’ siri pertama UiTMCSH Kampus Tawau telah bermula pada 18 Februari 2022. Pelaksanaan tiga (3) siri program sebelum ini, telah menampilkan lima (5) orang staf dengan tajuk perkongsian yang berlainan. Matlamat utama program ialah untuk menggalakkan semua staf berkongsi ilmu pengetahuan dan lebih cakna dengan kemahiran bidang lain di samping tugasan hakiki.

Bukan sahaja itu, malah program seumpama ini selari dengan definisi nilai i-DART yang pertama iaitu ‘Ilmu’ di mana pengetahuan tentang kebenaran yang diperolehi menerusi pembelajaran formal dan tidak formal bagi pemahaman, penghayatan dan perkongsian untuk meningkatkan martabat diri dan manfaat bersama. I-DART (Knowledge, Discipline, Trust, Diligence, Responsible) merupakan lima (5) nilai asas dan penting yang perlu ada dalam diri setiap warga UiTM.