Bandar Puncak Alam, 30 Jun 2021 : Nursing Students Association (NUSA) Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Puncak Alam telah berjaya menjayakan Program Smart Students sepanjang sesi 2020/2021 dan kini telah sampai ke penghujungnya. Program ini telah diadakan pada setiap hari Khamis dan merupakan sebuah program kolaborasi antara Nursing Student Association (NUSA) bersama dengan persatuan-persatuan dalaman di Fakulti Sains Kesihatan. Setiap exco kepimpinan dan pembangunan modal insan setiap persatuan dalaman FSK telah melibatkan diri secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan program ini.
Program yang telah berlangsung selama 9 minggu ini, telah diadakan bertujuan untuk berkongsi dan memperluaskan pengetahuan mahasiswa UiTM Puncak Alam berkenaan dengan cara belajar yang berkesan, mudah dan produktif. Walau bagaimanapun program ini bukan sahaja tertumpu kepada mahasiswa di FSK, malah masyarakat luar juga dapat menimba ilmu pengetahuan bersama- sama kerana program ini telah dijalankan secara alam maya dengan menggunakan platform Instagram rasmi NUSA dan whatsapp. Melalui platform tersebut, satu poster berkenaan dengan info cara belajar yang berkesan akan disebarkan pada setiap hari khamis.
Poster tersebut telah disediakan oleh exco kepimpinan persatuan dalaman FSK dengan dipantau oleh exco kepimpinan NUSA sebelum disebarkan untuk bacaan pelajar. Setiap poster yang telah disemak dan diluluskan oleh penasihat NUSA, kemudiannya akan dimuat naik di dalam laman media sosial rasmi Instagram NUSA (nusauitm) dikuti dengan persatuan-persatuan dalaman FSK yang lain. Selain itu, poster tersebut juga akan disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp supaya lebih ramai pelajar yang peka berkenaan dengan program ini.
Sepanjang program ini berlangsung, Sembilan poster telah berjaya disebarkan mengikut tarikh yang telah ditetapkan oleh pengarah program. Antara poster yang telah dihasilkan ialah poster berkenaan cara pengunaan aplikasi alat bantu belajar seperti video editor Wondershare Filmora atau Canva bagi tujuan membuat poster atau pamphlet yang menarik. Poster ini telah berjaya dihasilkan oleh wakil exco kepimpinan daripada sembilan persatuan dalaman FSK. Hal ini membuktikan bahawa walaupun program ini hanya dirancang dan dijalankan menerusi aplikasi whatsapp ekoran daripada pandemik Covid-19 yang melanda dunia, namun program ini masih tetap dapat dijalankan dengan baik dan jayanya atas kerjasama setiap individu yang terlibat di dalam program tersebut.
Melalui program ini, pelajar dapat mengenalpasti kelemahan dan masalah mereka terutamanya semasa mengikuti pembelajaran atas talian yang telah ditetapkan berlandaskan norma baharu. Bukan itu sahaja, kita juga dapat membimbing pelajar dalam menentukan gaya pembelajaran kendiri yang sesuai berdasarkan kebolehan diri serta memupuk minat pelajar ke arah cara pembelajaran yang lebih kondusif dan menarik. Akhir sekali, dengan adanya program ini pelajar akan didedahkan dengan cara belajar tanpa perlu menggunakan banyak tenaga seperti kata pepatah “Work smart, not work hard”. Sehubungan dengan itu, diharapkan program Smart Students ini telah memberikan banyak manfaat yang baik selain menjadikan mahasiswa UiTM lebih bijak dalam menuntut ilmu pengetahuan lebih-lebih lagi dengan cara pembelajaran di alam maya (ODL).