PERSIDA dan Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Pahang Menganjurkan Program Kerjaya Bersama LHDN

Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam Perhimpunan Agung PBB pada September 2015. Terdapat 17 matlamat SDG yang perlu diambil tindakan oleh semua negara, dimana ia merangkumi lima dimensi, iaitu kemajuan masyarakat, penjagaan bumi, kemakmuran, keamanan dan kerjasama. Oleh itu, pada tahun 2016, beberapa peristiwa dan isu pembangunan lestari telah berlaku sama ada di peringkat global mahupun di peringkat nasional. Bermula 1 Januari 2016, negara-negara dunia mula mengorak langkah untuk mengadaptasi kesemua 17 matlamat SDG yang ingin dicapai menjelang tahun 2030. Untuk menyahut matlamat SDG 4 iaitu pendidikan berkualiti, Persatuan Siswa Siswi Diploma Perakaunan (PERSIDA) dan Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan program Personal Taxation and Career Talk bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Temerloh, Pahang.

Program yang dianjurkan pada 25 Jun 2021 ini bertujuan untuk membantu dan memberi pendedahan kepada pelajar bahagian 4 diploma perakaunan dalam memahami beberapa topik bagi kursus TAX267 (Taxation 1) dan juga memberi pendedahan kepada mereka serta orang awam terhadap dunia kerjaya bersama LHDN. Selain itu kaedah pengisian borang cukai pendapatan individu melalui sistem e-filing turut dikongsikan

Tiga pegawai dari LHDN Cawangan Temerloh telah memberi kerjasama yang baik dan sudi berkongsi pengetahuan serta pengalaman mereka mengenai LHDN dan cukai pendapatan individu sepanjang hampir tiga jam program berlangsung. Mereka adalah En. Mohd Fadzil Bin Mohd Yusof (Eksekutif Hasil Kanan II / Ketua Unit Pungutan), En. Mohd Firdaus Bin Abdul Aziz (Eksekutif Hasil/Pegawai Khidmat Pelanggan) dan En. Muhammad Assif Bin Abdullah (Eksekutif Hasil/Pegawai Khidmat Pelanggan).

Program ini membantu pelajar untuk memahami tajuk cukai pendapatan individu yang bertepatan dengan kandungan kursus yang sedang dipelajari pada semester semasa. Pada masa yang sama, orang awam yang turut serta dalam program ini juga didedahkan dengan fungsi LHDN sebagai agensi penting dalam membantu kutipan dana negara bagi memacu pertumbuhan ekonomi. Kepentingan cukai kepada negara dan tanggungjawab peserta sebagai pembayar cukai turut disentuh.

Dari sudut kerjaya, peserta turut dimaklumkan tentang jumlah tenaga kerja LHDN, bilangan cawangan di seluruh negara, syarat minima kemasukan, dan jabatan/unit yang ada dalam organisasi LHDN. Selain itu, gaji pokok bagi lepasan diploma dan ijazah sarjana muda turut dikongsi, selain kenaikan tahunan dan faedah-faedah lain. Ini membuka mata para peserta untuk mengenali LHDN dengan lebih dekat dan menjadikan organisasi ini sebagai salah satu bakal majikan mereka di masa akan datang.

Program yang diadakan melalui Platform Microsoft Teams ini telah menarik lebih 200 orang peserta termasuk pelajar dan orang awam, dan selain itu telah berjaya membantu Fakulti Perakaunan memenuhi PI 36 – Number of students participate in career activities dan PI 37 – Number of companies involved in career activities.

Semoga PERSIDA terus mengajurkan program-program yang berkualti di masa-masa akan datang. Tahniah kepada semua ahli PERSIDA, pensyarah pengajar dan penasihatnya Pn Syahida Md Zeni.