MACHANG, 28 November 2021 – Satu majlis penyerahan sumbangan ‘Bakul Rezeki’ kepada 10 orang pekerja pembersihan yang telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohamed, P.S.K, Menjalankan Tugas Rektor UiTM Cawangan Kelantan dan diiringi oleh Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni (PJIA), Dr. Syerina Azlin Md. Nasir di perkarangan parkir Blok Pentadbiran UiTM Cawangan Kelantan. Penyampaian tersebut turut disertai oleh Dr. Hatinah Abu Bakar selaku Koordinator ICAN dan Dr. Nurazleena Ismail, Koordinator MASMED merangkap Ketua Projek Program ‘Research, Entrepreneurship, Industry, Alumni and Community’ (REIACt Day 2021). Program ini berlangsung selama dua hari iaitu pada 28 dan 29 November 2021 dan merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni (PJIA) yang menghimpunkan pelbagai aktiviti berbentuk penyelidikan, keusahawanan, kemasyarakatan, industri dan alumni.
Penyampaian sumbangan ‘Bakul Rezeki’ ini merupakan inisiatif yang telah digerakkan oleh Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dan dijangka akan dimanfaatkan kepada 96 penerima secara keseluruhannya. Dalam ucapan beliau, Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohamed menzahirkan rasa syukur atas penganjuran program seumpama ini dan berharap program seumpama ini dapat memberi manfaat kepada para penerima bantuan. Beliau turut mendoakan agar para penerima sumbangan terus tabah dan menjalani kehidupan yang lebih baik walaupun keadaan kini amat mencabar selain daripada ancaman dan kekangan pandemik COVID-19 yang masih tidak menentu.
Objektif utama penganjuran program ini adalah sebagai tanda keprihatinan pihak pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Kelantan terhadap komuniti dan warga kampus yang kurang berkemampuan terutama dari kumpulan B40 di samping menyempurnakan sebahagian daripada pengisian program REIACt Day 2021 yang bertujuan untuk menjalinkan hubungan yang lebih rapat antara warga UiTM Cawangan Kelantan, komuniti dan alumni. Selain itu, ianya bertujuan untuk meningkatkan penyertaan staf dan mahasiswa UiTM Cawangan Kelantan dalam aktiviti-aktiviti dan kursus-kursus berkaitan dengan penyelidikan, keusahawan dan jaringan industri dan alumni.
UiTMCK akan terus komited dalam menggerakkan aktiviti agihan ‘Bakul Rezeki’ kepada golongan sasaran sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan warga kampus. Semoga sumbangan ini dapat memberi keceriaan kepada para penerima dan membantu mengurangkan kos perbelanjaan para penerima bantuan.