Program Penyampaian Hadiah Cakna Bahaya Vape 2023

Program kolaborasi dan jalinan komuniti merupakan satu perkara yang menjadi tunjang dalam pemerkasaan nilai UiTM ke arah menjadi universiti terkemuka. Berdasarkan 3 nilai utama UiTM iaitu E (Excellent), S (Synergy) dan I (Integriti), UiTM Cawangan Pahang mengorak langkah dalam menyahut cabaran mewujudkan synergy bersama komuniti di sekitar. UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama SMK LKTP Jengka 16, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Akademi Pengajian Bahasa dan High Achievers Club telah mengadakan satu Pertandingan Cakna Bahaya Vape 2023. Program ini merupakan satu pertandingan yang diadakan untuk memupuk kesedaran tentang bahaya penggunaan vape dikalangan pelajar sekolah. Sebanyak 23 penyertaan telah dihantar oleh para pelajar yang terdiri daripada persembahan sajak, pidato, pantomin dan lakonan. Pertandingan ini telah diadakan bermula 15 Februari 2023 hingga 20 April 2023 dan sesi penyampaian hadiah telah diadakan pada 8 Mei 2023.

Program ini telah dihadiri oleh Encik Mohd Ruhaizie Riyadzi (Ketua Modul Epidemiologi Tembakau, Pusat Penyelidikan Penyakit Tidak Berjangkit), Institut Kesihatan Umum (IKU), Kementerian kesihatan Malaysia, Tuan Azli Hamid (Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Maran) serta Pegawai unit Hal Ehwal Murid Pejabat Pendidikan Daerah Maran, Tuan Pengetua SMK LKTP Jengka 16, En. Sharil Aznan Mansor, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Cik Noorashikeen Hashim; Ketua Bidang Bahasa, Cik Nurul Huda Ismail dan Cik Wan Laila Wan Husain serta Prof. Madya Dr Hajah Nazirah Ramli, Timbalan Rekotr Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Pahang selaku perasmi majlis. Program ini juga diselitkan dengan ceramah kesedaran penggunaan vape yang telah disampaikan oleh Encik Mohd Ruhaizie Riyadzi.

Melalui program ini, pelbagai perancangan dan inisiatif telah dirangka berkaitan kajian vape dikalangan remaja, dan ia merupakan titik tolak pengembangan kajian penyelidikan untuk peringkat seterusnya serta perancangan kolaborasi antara UiTM Cawangan Pahang bersama Institut Kesihatan Umum, Kementerian kesihatan Malaysia.

Program ini juga telah berjaya mencapai PI UiTM Pahang iaitu PI038, PI039, PI075 dan PI078, serta memenuhi kriteria SDG-3 iaitu Good Health and Well-Being serta SDG-17 iaitu Partnership for The Goals. Syabas dan Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini dan diharapkan pada masa akan datang, program sebegini dapat diadakan lagi dalam memastikan jalinan bersama komuniti setempat terus berkekalan dan objektif serta impak penyelidikan kajian vape dapat dicapai.

Disediakan oleh:

Prof. Madya Dr. Tengku Intan Suzila Tengku Sharif
Dr. Rosmah Nizam
Dr. Mohd Safwan Ramli
Dr. Noor Izyan Binti Mohamad Adnan
En. Mohd Faizal Azrul Azwan B Muhamed @ Che Harun