Baru-baru ini, pasukan DMAP@School Fakulti Sains Kesihatan UiTM Selangor telah dijemput berkolaborasi dengan Unit Hal Ehwal Murid, SK Tambak Jawa, Jeram dalam sesi perkongsian “Bahaya Rokok Elektronik” bersempena dengan Kempen Hidup Sihat, Cegah Rokok dan Vape yang dijalankan secara menyeluruh di seluruh negara. Penganjuran program ini merupakan inisiatif pihak sekolah bagi memupuk kesedaran di kalangan murid-murid mengenai bahaya rokok elektronik yang boleh mengancam kesihatan. Selain itu, program ini juga dijalankan bagi menambahkan ilmu pengetahuan berkaitan penjagaan kesihatan dalam kalangan murid-murid yang mana program ini merupakan langkah awal dalam meningkatkan kemenjadian murid melalui penghasilan Duta Kecil Kesihatan melalui bimbingan pihak luar yang mampu menjadi agen pencegahan rokok dalam kalangan komuniti, yang mana ianya terangkum di dalam salah satu elemen kemenjadian murid dalam Program Transformasi Sekolah (TS25).
Program kali ini melibatkan murid-murid Tahap 1 dan Tahap 2, dan juga penglibatan guru-guru serta pekerja sekolah. Dari UiTM, pasukan DMAP@School diwakili oleh 3 orang panel iaitu Dr Evana Kamarudin, Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan, Pn Fatin Nadzirah Zakaria, Pensyarah (Fisiologi) dan En Razif bin Dasiman, Pensyarah Kanan (Fisiologi) dari Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM. Antara yang dikongsikan kepada para peserta yang hadir adalah pengenalan kepada rokok dan e-cigarette, kandungan rokok dan cecair di dalam e-cigarette, kesan terhadap kesihatan diri, ahli keluarga dan bayi, penyakit-penyakit akibat rokok serta cara-cara bagaimana mengelakkan bahaya kesan rokok. Program telah dirasmikan oleh En Nor Mahali Mohamad Torman, Guru Besar SK Tambak Jawa. Turut hadir menyertai program ini adalah En Zulkifli Mohamad, Penolong Pegawai Pendidikan (Unit Pemulihan), dari Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor.
Adapun, penganjuran program ini adalah selaras dengan matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) khususnya SDG 3: Good Health and Well-being, dan SDG 4: Quality Education. Ianya juga merupakan bukti kerjasama pihak FSK UiTM sebagai rakan strategik sekolah dalam memberikan khidmat nasihat, perundingan, kunjung bantu dan memberi sokongan professional kepada pihak sekolah dalam merealisasikan kemenjadian murid melalui penganjuran aktiviti perkongsian ilmu (Knowledge Transfer) berbentuk kesihatan berimpak tinggi, positif dan bermanfaat. Selain itu, hubungan baik antara pihak universiti dengan komuniti luar, seperti warga sekolah dapat diperkasakan agar penyampaian ilmu dapat diteruskan demi mencapai objektif bersama dalam membentuk generasi akar umbi yang kaya dengan ilmu, berdaya saing, berani, beradab dan rajin menuntut ilmu.