Pada tahun 2022 ini sirkit sukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia telah dibuka kembali setelah hampir dua tahun tiada sebarang kejohanan akibat Pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pelbagai sirkit kejohanan IPT Malaysia seperti Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Sukan Institut Pengajian Tinggi Malaysia (SUKIPT), Higher Education Sports Fiesta (HESF), Liga Sukan IPT dan banyak lagi akan melabuhkan tirai dan mengambil tempat dalam pelbagai temasya serta kalendar tahun ini.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) selaku pendahulu serta pencabar utama dalam hampir semua sirkit kejohanan IPT telah mula melakukan persediaan. Pelbagai bengkel pemantapan atlet dan pengurusan diadakan. Terbaru Program “Return to Champs” yang telah diadakan di UiTM Shah Alam pada 25 hingga 27 Januari 2022 telah menemukan semua pengurus pasukan dan jurulatih dengan Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi. Perbincangan mendalam mengenai program pemantapan dan pemilihan atlit, serta penambahbaikan frasarana telah dibincangkan. Tujuan utama adalah untuk mengekalkan UiTM sebagai juara keseluruhan MASUM, SUKIPT serta sirkit IPT yang lain.
Bertitik tolak daripada perancangan tersebut, skuad ping pong UiTM Malaysia telah mengadakan sesi pemilihan atlet lelaki dan perempuan pada 31 Mac hingga 1 April 2022 di Dewan Serbaguna Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Shah Alam. Dalam sesi pemilihan ini, semua atlet yang berpotensi daripada semua kampus UiTM telah mengambil bahagian di mana sebanyak 18 atlet lelaki dan 12 atlet perempuan telah hadir dalam sesi pemilihan tersebut. Sesi pemilihan kali ini dianjurkan oleh Pusat Sukan UiTM Shah Alam yang dipimpin oleh Encik Mahathir Bin Mahali, Pensyarah Kanan UiTM Jengka selaku ketua jurulatih, Cik Faezah Nur Ismail daripada pusat sukan UiTM Shah Alam selaku pengurus pasukan dan saudara Mohammad Aimal Mohamad Nizam, pelajar Fakulti Sains Sukan Puncak Alam selaku penolong jurulatih.
Sesi pemilihan kali ini telah berlangsung selama dua hari dan terbahagi kepada dua kategori iaitu pemilihan atlet lelaki dan atlet wanita. Semua atlet telah berkumpul dan menginap di Kolej Perindu, UiTM Shah Alam. Objektif utama pemilihan kali ini adalah untuk memilih 10 atlet lelaki dan 10 atlet wanita terbaik untuk mewakili UiTM ke Sukan Raket IPT kebangsaan yang akan berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 29-29 Mei 2022 akan datang. Daripada 10 atlet terpilih untuk kedua-dua kategori tersebut pula hanya 8 orang terbaik daripada atlet lelaki serta wanita akan mewakili skuad ping pong UiTM Malaysia ke sukan SUKIPT yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 23 Ogos bertempat di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pula.
Untuk kategori lelaki, dua peringkat awal pemilihan telah ditetapkan yang terdiri daripada 14 atlet manakala baki 4 atlet berprestasi tinggi layak secara automatik ke peringkat akhir. Diperingkat awal iaitu pusingan pertama, 14 daripada atlet tersebut telah dibahagikan kepada dua kumpulan dimana mereka perlu bertanding dan bertemu di antara satu sama lain. 5 atlet dengan kedudukan teringgi dalam setiap kumpulan akan layak ke pusingan kedua dengan jumlah 10 atlet. Di pusingan kedua, jumlah 10 atlet tersebut akan sekali lagi bertanding. Mereka akan bertemu dengan atlet daripada kumpulan yang berbeza daripada pusingan pertama tadi. Dalam pusingan kedua ini, 6 orang atlet akan layak ke pusingan akhir dan akan bertemu serta bertanding dengan 4 orang atlet berprestasi tinggi. Di akhir pusingan ini, kedudukan 10 atlet terbaik telah dikenal pasti.
Bagi kategori atlet wanita pula, mereka perlu bertemu dan bertanding sesama mereka di dalam satu pusingan sahaja. 9 darpada atlet di kedudukan terbaik akan layak untuk mewakili skuad ping pong UiTM Malaysia. Seorang daripada atlet wanita iaitu saudari Aina Zayani Mohammad Amri daripada Fakulti Sains Sukan kampus Puncak Alam yang sedang mengikuti persiapan latihan ke kejohanan “Asean University Games” layak secara automatik dalam pemilihan ini.
Berikut adalah senarai 10 atlet lelaki dan wanita mengikut “ranking” skuad ping pong UiTM Malaysia 2022.
Atlet Lelaki:
1. Muhammad Zahrul Asyraf Mohd Zaki (Puncak Alam)
2. Mohammad Aimal Mohammad Nizam (Puncak Alam)
3. Nik Muhammad Luqman Al Hakim Nik Muhammad Shukran (Puncak Alam)
4. Muhammad Khalis Izwan Mohd Ruslan (Puncak Alam)
5. Nur Firdaus Shuhaini (Kedah)
6. Mohamad Hakim Mohd Noor Amin (Johor)
7. Muhammad Zahid Nor Azman (Melaka)
8. Muhammad Syamim Haziq Mohd Ja’ais (Shah Alam)
9. Muhammad Adam Shah Azman Shah (Puncak Alam)
10. Alhakim Md Zulkiplee (Shah Alam)
Atlet Wanita:
1. Aina Zayani Mohammad Amri (Puncak Alam)
2. Nur Addina Shafiyyah Mohd Yusri (Puncak Alam)
3. Nur Wahida Mohd Rosli (Puncak Alam)
4. Farha Umirah Azahari (Pahang)
5. Nur Ainul Husna Mohd Zamri (Pahang)
6. Siti Zuhairah Abdul Aziz (Kedah)
7. Nurul Athirah Osman (Puncak Alam)
8. Noraziah Bahri (Melaka)
9. Nurul Iylia Maisarah Ramli (Pahang)
10. Nor Arina Husna Mohd Norijasmi (Puncak Alam)
Skuad ping pong UiTM Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Encik Jalaludin Husain, Pengarah Pusat Sukan UiTM serta kakitangan Pusat Sukan UiTM Shah Alam dalam memberikan sokongan serta menjayakan sesi pemilihan ini. Skuad ping pong UiTM Malaysia bertekad, berazam dan komited untuk membawa kejayaan cemerlang kepada UiTM dalam temasya sukan IPT kebangsaan seterusnya memartabatkan sukan ping pong dipersada arena kebangsaan. Justeru itu,persedian awal serta pemilihan atlet yang layak diharap dapat mengekalkan mutu permainan sukan skuad ping pong UiTM Malaysia. Kebanyakkan sukan liga IPT telah menetapkan tarikh dalam kelendar pada tahun ini, oleh yang demikian, skuad UiTM juga berusaha memartabatkan nama universiti dalam bidang sukan terutama pin pong di temasya – temasya yang disertai di dalam atau luar negara.