Episod 1:Program Pemantapan Akademik dan Sahsiah Pelajar PPT UiTMCJ

Mendepani pandemik Covid-19 merupakan satu cabaran yang tidak dapat tidak perlu dilalui oleh semua penduduk bumi tanpa mengira peringkat umur. Justeru, Unit Kerjaya & Kaunseling UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat meneruskan usaha murni mereka dalam menyantuni pelajar-pelajar Pra Pendidikan Tinggi (PPT) di kampus ini bagi memastikan motivasi mereka tidak mudah luntur.

Memandangkan peralihan dari era pandemik ke era endemik memberi kesan kepada semua golongan, penerapan kemahiran insaniah dalam diri pelajar yang dilihat memainkan peranan dalam membangunkan potensi diri mereka seoptima mungkin perlu diketengahkan. Dalam usaha membantu meningkatkan pembangunan diri pelajar PPT, Unit Kerjaya & Kaunseling UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat dengan kerjasama Koordinator Pra Pendidikan Tinggi telah melaksanakan Program Pemantapan Akademik dan Sahsiah Pelajar PPT.

Program Pemantapan Akademik dan Sahsiah Pelajar PPT dengan kekuatan 29 pelajar dan 5 penceramah ini akan melalui lima episod menarik bermula April 2022 sehingga Jun 2022. Antara objektif program ini adalah:
1. Memberi kesedaran kepada pelajar akan pentingnya mereka mengenali diri sendiri agar dapat membentuk tabiat serta sikap positif dalam diri..
2. Mendapat maklumat yang lebih jelas mengenai diri mereka melalui pendekatan yang bersesuaian. (Maklumat yang diperolehi akan dapat digunakan untuk mengatur langkah penambahbaikan diri.)
3. Meningkatkan kesedaran diri dan pembentukan sahsiah yang lebih baik.
4. Meningkatkan pemahaman mengenai teknik belajar berkesan, pengurusan tekanan dan penjagaan kesihatan mental yang sihat.

Tanggal 7 April 2022, jam 12.00 tengahari telah membuka tirai program dengan Episod 1: Transisi ke Universiti: Serlahkan Potensi dan Matlamat Diri bersama penceramah Cik Wan Noradila binti Wan Mohd Zain (Pegawai Psikologi Kanan), UiTMCJ dibantu oleh dua Kaunselor Pelatih, Cik Wan Nurul Aisyah binti Wan Mohd Yen dan Cik Nur Afiqah Farisya binti Abd Halim.

Semoga dengan terlaksananya program ini akan dapat memberi input berguna kepada pelajar-pelajar PPT dalam menerapkan motivasi diri yang tinggi serta penetapan matlamat yang lebih jelas bagi membolehkan mereka belajar dengan lebih efektif di universiti.

Diharapkan juga dengan pelaksanaan program ini dapat merealisasikan aspirasi UiTM untuk melahirkan para pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik malah cemerlang dari segi sahsiah, akhlak dan kendiri.

Penulis: Siti Zarikh Sofiah Abu Bakar, Wan Noradila Wan Mohd Zain