PROGRAM PAMERAN INOVASI MEDIA INTERAKTIF – BUKU CERITA RAKYAT INTERAKTIF

SHAH ALAM, 20 Julai 2023 – Program Pertandingan Pameran Inovasi Media Interaktif sesi 2023/2 berlangsung pada 11 Julai 2023 di Ruang Legar Auditorium, Akademi Pengajian Bahasa (APB), Bangunan Korea, Kampus UiTM Shah Alam. Program ini melibatkan pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Kepujian) Bahasa Melayu Komunikasi Profesional (LG241) (Elektif Pengajian Bahasa Melayu) semester 4 yang mengikuti kursus BME575 (Pembangunan Media Interaktif) untuk mempamerkan produk aplikasi media interaktif.

Program ini adalah keperluan penilaian kursus BME575 dan juga bertujuan untuk memupuk daya saing, daya inovasi, dan kerjasama di antara pelajar APB. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memperkukuhkan kemahiran komunikasi pelajar dalam mengenal pasti peluang pemasaran bagi produk yang dihasilkan. Bertemakan Buku Cerita Rakyat Interaktif, produk seperti I-Cerah, I-Cheritera, I-Karyasa, I-Magika, dan I-Puteri telah dihasilkan dalam bentuk poster. Kumpulan terbaik akan menerima penghargaan berupa sijil kemenangan.

Dr. Rozaimah Rashidin selaku Ketua Pusat Pengajian Bahasa Melayu LG241 dan Encik Azhar Wahab selaku pensyarah sumber BME575 turut hadir untuk menyemarakkan program ini. Ucapan tahniah diberikan kepada kumpulan yang berjaya mendapatkan sijil kemenangan dan menjadi sumber inspirasi bagi para mahasiswa untuk sesi yang akan datang.