Pada 10 Januari 2023, Biro Pemantapan Akademik Pelajar (PEMANTAP), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Cawangan Pahang, Kampus Raub telah menjalankan satu program yang diberi nama OHMYCGPA. Program ini dirancang bagi memastikan pelajar terutamanya di bahagian satu (1) mendapat pendedahan awal berkenaan pengiraan mata gred. Ianya bertujuan untuk memastikan pelajar dapat menentukan pencapaian akademik yang diingini. Di samping itu juga, program ini akan diselitkan dengan kandungan yang berkaitan dengan akademik pelan pengajian, kalender akademik dan budaya akademik di UiTM. Program ini telah dijalankan secara fizikal turut memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk bertanyakan persoalan-persoalan sekitar akademik secara terus kepada pensyarah.
Sesi taklimat disampaikan oleh Puan Rozieana A. Halid @ Khalid yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Pahang. Puan Rozieana A. Halid telah berkongsi teknik pengiraan CGPA yang betul dan kaedah untuk memilih subjek setiap semester bagi memastikan CGPA berada pada tahap yang dikehendaki.
Pelajar dibekalkan dengan sistem excel yang boleh dimuat turun dan memasukkan subjek yang berkenaan pada semester 1. Sistem ini boleh membantu pelajar mengira CGPA mereka dan membuat penetapan matlamat GPA yang diperlukan pada semester ini. Sistem ini juga dibangunkan dengan grafik graf yang membolehkan pelajar menilai prestasi akademik semasa dan pada semester berikutnya. Kesemua subjek yang perlu diambil sepanjang tempoh pengajian bagi program BA111 dan BA119 telah dimasukkan ke dalam sistem. Pelajar hanya perlu memasukkan jumlah jam kredit dan sasaran gred. Seterusnya sistem akan mengira markah GPA mereka dan mampu mengira CGPA apabila data untuk semester 2 dimasukkan.
Para pelajar diminta untuk mencuba sendiri sistem ini dengan memikirkan gred-gred sasaran bagi subjek yang mereka ambil pada semester ini. Melalui sistem ini, pelajar dapat melihat dengan jelas sebarang implikasi seperti kegagalan menghabiskan kursus kokurikulum juga boleh menjejaskan prestasi akademik secara keseluruhan.
Acara selingan diperkenalkan bagi membolehkan pelajar berehat sebentar. Pelajar diajak untuk menyertai kuiz atas talian menggunakan aplikasi Quizizz. Kuiz ini mengandungi 14 soalan berkaitan dengan fakulti dan sejarah UiTM. Melalui soalan-soalan ini pelajar akan mendapat pendedahan yang lebih meluas tentang fakulti dan UiTM. Kuiz ini berlangsung sekitar 30 minit dan pemenang di 10 kedudukan teratas diberikan cenderahati. Dr. Hasnizawati Hashim berkenan menyampaikan hadiah. Pelajar dilihat gembira menjawab soalan kuiz tersebut memandangkan soalan yang diajukan secara santai dan senang sahaja namun, mungkin tidak terfikirkan. Soalan-soalan seumpama ini penting untuk meningkatkan kesedaran pelajar tentang latar belakang dan sejarah UiTM dan fakulti secara umumnya.
Acara berikutnya adalah aktiviti self-reflection journal. Ini adalah aktiviti di mana para pelajar dikehendaki untuk memerhati ke dalam diri mereka berkenaan kekuatan dan kelemahan diri. Di samping, mengenalpasti masalah dan cabaran dalam pembelajaran mereka, seterusnya mengenalpasti faktor yang mempengaruhi masalah dan cabaran tersebut. Melalui aktiviti ini, pelajar diharapkan boleh mengenal diri sendiri dengan lebih baik dan menyelesaikan isu-isu yang membelenggu sepanjang proses pembelajaran mereka.
Sekitar jam 10.30 malam, acara ini diakhiri dengan ucapan ringkas dari Dr Hasnizawat Hashim selaku Ketua Pusat Pengajian. Akhir sekali, semua peserta bergambar beramai-ramai sebagai kenang-kenangan. Adalah diharapkan melalui program ini, pelajar mendapat maklumat yang jelas bagaimana penetapan matlamat terutama sekali nilai mata gred. Ini adalah penting kepada fakulti untuk memastikan jumlah pelajar yang bergraduasi dalam tempoh 2 setengah tahun pengajian tercapai.
Maklumat lanjut berkenaan aktiviti ini boleh di dapati dari laman Facebook kami di https://www.facebook.com/FPPuitmpahang dan juga di Instagram https://www.instagram.com/bsuitmraub/
Adalah diharapkan program seumpama ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang dengan lebih banyak pengisian yang menarik.