Deanner’s Night – PERSIDA UiTM Cawangan Pahang

Bandar Pusat Jengka, 14 Januari 2023 – Persatuan Siswa Siswi Diploma Perakaunan (PERSIDA) UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan majlis Deanner’s Night yang bertempat di Dewan Indera Segara, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Majlis ini diadakan bersempena majlis makan malam bagi meraikan pelajar semester akhir Diploma Perakaunan yang akan bergraduat bersekali dengan majlis kecemerlangan akademik bagi menghargai pelajar-pelajar Pusat Pengajian Perakaunan (PPP) yang telah menunjukkan prestasi cemerlang pada semester yang lalu. Majlis makan malam yang bertemakan ‘Melayu Klasik’ ini dihadiri seramai lebih 500 tetamu termasuk 16 orang pensyarah dan 3 orang alumni.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa bagi memberkati majlis pada malam tersebut. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan pembukaan majlis yang telah disampaikan oleh Pengarah Program, Nur Saidatul Athirah Jaais; ucapan dari alumni Diploma Perakaunan UiTM Cawangan Pahang, Encik Mohd Haniff Hanafiah; dan seterusnya ucapan daripada Ketua Pusat Pengajian Perakaunan, Dr. Mohd Azmi Nias Ahmad. Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Dr. Haji Mohd Kamal Azman Jusoh bagi merasmikan majlis pada malam tersebut. Turut hadir Alumni PERSIDA Izzatul Qistina Insyirah Roszaimi, Nurul Ain Natasha Mat Rahim, Nur Adlina Allysha Mohd Rizal dan Anis Syuhaidah Ahmad Hamdani.

Majlis dimeriahkan lagi dengan beberapa persembahan teater daripada para pelajar semester 5 dengan menonjolkan bakat-bakat istimewa mereka dalam bidang seni lakonan, seni suara, dan juga seni tarian. Para tetamu yang hadir turut bergembira dengan persembahan yang dilakonkan oleh para pelajar tersebut. Majlis bersurai pada pukul 10.15 malam. Majlis ini telah mendapat sambutan yang baik kerana ianya dapat merapatkan ukhuwah sesama mahasiswa, disamping juga dapat merapatkan silaturrahim antara alumni, mahasiswa dan juga para pensyarah.

Sekalung tahniah diucapkan kepada PERSIDA kerana berjaya menganjurkan program ini dengan berkonsepkan semangat kerjasama dengan mengadakan majlis kecemerlangan serta makan malam sehingga menjadikan Deanner’s Night ini sungguh bermakna dan meriah sekali. Semoga usaha seperti ini dipergiatkan lagi untuk mengekalkan kecemerlangan agar Fakulti Perakaunan akan peroleh kejayaan yang lebih besar pada masa yang akan datang.