Program Nasi Lemak Tautan Kasih Buat Mahasiswa Siswi UiTM Pahang

4 NOVEMBER 2022: Seramai 200 orang mahasiswa UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka menerima sarapan pagi percuma. Program “Nasi Lemak Tautan Kasih” merupakan inisitif Kelab Pensyarah UiTM Pahang Cawangan Jengka bagi dalam memenuhi keperluan Sustainable Development Goal (SDG) , tujuan ke 2, iaitu Zero Hunger. Program ini dapat dilaksanakan melalui hasil sumbangan kewangan dari ahli-ahli Kelab Pensyarah.

Pepatah Melayu ada berkata ‘cubit paha kiri, paha kanan terasa juga’ jelas membawa maksud kesulitan yang ditanggung oleh seorang ahli keluarga, ahli-ahli yang lain juga turut merasakan akan kesulitan itu jua. Kita saban hari didedahkan mengenai berita siswa siswi Institut Pengajian Tinggi Awam yang terpaksa mengikat perut dan menahan lapar akibat kekangan kewangan. Ada juga yang terpaksa berpuasa dan bergantung pada sebuku roti untuk dua hari dan ada pula yang hanya minum air suam dan makan sekali sehari pada waktu malam, untuk menjimatkan belanja demi meneruskan pengajian masing-masing.

Umum mengetahui, sarapan adalah penting untuk membekalkan tenaga supaya kekal fokus pada akitiviti pembelajaran terutamanya pada waktu pagi. Justeru itu, program ini bertujuan mempersiapkan pelajar yang sudah bersarapan ke kuliah agar dapat membantu meningkatkan prestasi mereka. Pelajar yang cemerlang dan berkualiti merupakan elemen penting dalam memimpin dan membangunkan negara pada masa akan datang. Semoga dengan adanya program-program seperti ini dapat membantu pelajar untuk terus bermotivasi dalam mencapai kecemerlangan dan cita- cita mereka. Terima kasih diucapkan kepada Pihak Kelab Pensyarah dan seluruh warga pensyarah UiTM Cawangan Pahang (Kampus Jengka) yang sudi memberikan sumbangan dalam menjayakan program ini. Semoga bakti kecil ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.