Program Mobiliti Pelajar anjuran Kelab High Achievers UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah diadakan selama 5 hari bermula 5 Mac hingga 11 Mac 2023 di Universitas Negeri Malang (UM), Indonesia. Seramai 6 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Biodiversity iaitu Siti Umairah Binti Azmi, Evy Alvera Junis, Nur Fatiha Natasya Binti Ruzilan, Aina Mardia Binti Rais, Nurul Syazwana Biti Zafrul Safuan, dan Nur Illyana Sofia Binti Mohd Azlim terlibat dalam program ini dengan diiringi oleh dua orang pensyarah Akademi Pengajian Bahasa (APB), Prof. Madya Dr Tengku Intan Suzila Tengku Sharif dan Cik Fatin Sabrina binti Abdul Sukor.
Sepanjang program berlangsung, beberapa aktiviti telah diadakan seperti pertukaran budaya, forum bertajuk ‘Sistem Pendidikan di Malaysia dan Indonesia’, pertandingan permainan tradisional Malaysia, knowledge transfer program dan program khidmat masyarakat. Aktiviti-aktiviti ini telah memberi peluang kepada peserta mobiliti UiTM Pahang dan juga pelajar UM untuk bertukar idea dan mewujudkan persefahaman dalam bidang akademik dan juga kebudayaan masing-masing.
Selain itu, delegasi UiTM Pahang turut melakukan beberapa lawatan berkonsepkan Edu-Tourism di sekitar kampus UM dan Kota Malang. Pihak Fakultas Sastra UM telah berbesar hati menaja lawatan Edu-Tourism delegasi yang terlibat ke Museum Angkut di Kota Batu. Para pelajar dan staf mereka juga meluangkan masa untuk menemani delegasi UiTM Pahang sepanjang lawatan Edu-Tourism di sekitar kampus UM. Antara tempat-tempat yang telah dilawati adalah Museum Pembelajaran UM, Self Access Centre (SAC) untuk Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan Bahasa Mandarin serta bangunan fasiliti akademik yang lain.
Sepanjang keberadaan delegasi di sana, pihak UM telah bermurah hati menyediakan kemudahan penginapan, pengangkutan dan juga makanan kepada peserta program mobiliti UiTM Pahang. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi dan kerjasama di antara dua universiti dan seterusnya dua negara akan terus erat dengan lebih banyak usahasama dalam bidang penyelidikan dan akademik pada masa akan datang.