Program Mobiliti Antarabangsa: Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) Bina Kerjasama Akademik dan Pertukaran Budaya Dengan UiTM Sarawak

KOTA SAMARAHAN: Lawatan sambil belajar seramai 20 pelajar Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak menyediakan peluang yang unik untuk menghayati kekayaan warisan budaya, sejarah, dan usaha akademik yang terdapat di Sarawak.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Mohamad Isa Mohamadin berkata, dengan menyelami budaya tempatan, para pelajar akan mendapatkan pemahaman holistik tentang wilayah yang indah ini dan membentuk pemikiran global yang merentasi sempadan.

“Manfaatkan program akademik komprehensif yang menanti anda dan belajar daripada ahli fakulti yang akan membimbing anda melalui lawatan ini. Terlibat dalam perbincangan, tanya soalan yang menyelidik dan kongsi pandangan anda.

“Melalui pertukaran intelektual ini, anda akan mendapat penghargaan yang lebih mendalam untuk landskap akademik yang pelbagai di Asia Tenggara.

“Anda akan lebih memahami dan lebih menghormati kepelbagaian kaum dan etnik berbanding orang lain,” katanya semasa berucap dalam Program Mobiliti Antarabangsa: Kursus Lawatan Sambil Belajar Inisiatif Persahabatan Asia Tenggara (SFI) ke UiTM Sarawak di sini pada Selasa.

Menurut Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Mohamad Isa lagi, lawatan sambil belajar itu adalah peluang untuk membina ikatan persahabatan dan pemahaman antara pelajar.

“Berinteraksi dengan pelajar dari UiTM Cawangan Sarawak merupakan pengalaman yang berharga kerana mereka datang dari latar belakang, budaya, dan perspektif yang berbeza.

“Penting untuk menghargai kepelbagaian yang melingkungi kita, kerana melalui hubungan ini, kita dapat menghadapi halangan dan membentuk komuniti yang benar-benar global,”ujar beliau lagi.

Lawatan pelajar Singapura ke Malaysia Timur itu telah bermula dari 10 Julai dan berakhir 20 Julai 2023.