PROGRAM MEMPERKASAKAN PEJUANG KANSER PAYUDARA ANJURAN PUSAT PENGAJIAN FISIOTERAPI FAKULTI SAINS KESIHATAN, UITM PUNCAK ALAM

Bulan Oktober merupakan bulan kesedaran kanser payudara sedunia dan juga dikenali sebagai “Pink Oktober’” di mana ribon bewarna pink sebagai tanda menyokong kempen ini. Pada 1 Oktober 2023, Ahad yang lepas, Klinik Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA Selangor Kampus Puncak Alam telah menganjurkan sebuah Program Bersama Komuniti Pejuang Kanser Payudara. Program ini telah dilaksanakan di Klinik Fisioterapi, FSK 234, UiTM kampus Puncak Alam dan telah dihadiri oleh seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada pejuang kanser payudara yang turut ditemani oleh ahli keluarga dan teman. Program ini telah dijayakan oleh barisan pensyarah Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan UiTM Puncak Alam dengan penglibatan alumni pelajar fisioterapi UiTM dari Hospital Al-Sultan Abdullah dan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar Fisioterapi UiTM. Program ini turut mendapat tajaan daripada pihak industri iaitu PHYSIOGO Sdn Bhd dan Menteri Besar Incorporated yang bersama-sama menyokong manfaat program ini. Bertemakan konsep “Memperkasakan pejuang kanser payudara“ pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat telah dilaksanakan.

Menurut pengarah program iaitu Puan Aiman Nadia Akmar binti Rahman, pensyarah Fisioterapi, UiTM Puncak Alam program ini dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada komuniti pejuang kanser payudara tentang kepentingan kesihatan fizikal dalam kualiti hidup seseorang pejuang kanser payudara selain meningkatkan pengetahuan mereka tentang peranan dan kepentingan rawatan fisioterapi dalam pengurusan pesakit kanser. Selain itu, program ini bertujuan untuk mengesan permasalahan kesihatan fizikal yang dihadapai oleh pejuang kanser payudara bagi intervensi yang sesuai dapat dilaksanakan. Puan Aiman turut optimis penglibatan komuniti pejuang kanser payudara ini mampu memperkasa dan meningkatkan keyakinan diri para pejuang kanser payudara dan pada masa sama membantu dalam perubahan tingkah laku yang positif terhadap kesihatan fizikal untuk jangka masa panjang.

Program ini bermula seawal 8.00 pagi dan dirasmikan oleh Ketua Pusat Pengajian Fisioterapi, Dr Ida Hasni binti Shaari di mana beliau turut melahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada para peserta dan jawatankuasa program kerana bersama-sama menjayakan program ini. Walaupun program dilaksanakan pada hari Ahad, penyertaan dan semangat yang dipaparkan oleh para peserta dan ahli jawatankuasa program amat memberangsangkan. Selepas itu, sesi senaman pilates bersama Cik Tan Yee Lin yang merupakan pengasas bagi AOLove Pilates Studio telah dijalankan. Senaman pilates adalah sejenis senaman yang memerlukan kawalan minda dan otot badan selain dapat meningkatkan kualiti kesihatan fizikal pesakit kanser payudara. Sesi pilates dilaksanakan dengan menggunakan theraband sebagai alat senaman bagi meguatkan otot. Sesi senaman tersebut dilaksanakan dengan penuh kecerian dan bersamangat oleh para peserta.

Selain itu, para peserta turut menghadiri ceramah tentang kesan kanser payudara dan rawatannya terhadap kesihatan fizikal dan kualiti hidup yang disampaikan oleh Puan Aiman Nadia Akmar. Pengisian ceramah menerangkan tentang komponen dan cara meningkatkan mutu kualti hidup pejuang kanser payudara. Beliau turut menekankan kepentingan peranan fisioterapi dalam rawatan kanser antaranya: membantu dalam proses pemulihan fungsi fizikal pesakit kanser dengan mengenalpasti, menganalisa dan memberi rawatan mengikut masalah yang dihadapi setiap pesakit, memainkan peranan penting dalam prehabilitasi pesakit bagi mengelakkan komplikasi yang lebih sirius, penjagaan palitif, dan juga aktif dalam melakukan promosi kesihatan dengan matlamat meningkatkan mutu kualiti hidup pesakit pada masa sama mengoptimumkan fungsi fizikal pesakit kanser.

Para peserta turut mengambil kesempatan yang diberikan dengan menjalani pemeriksaan kecerdasan fizikal dan konsultasi percuma oleh pensyarah Fisioterapi. Antara pemeriksaan kecerdasan yang mereka jalani ialah ujian komposisi badan, pemeriksaan kecerdasan kardiovaskular, pemeriksaan kekuatan tangan, saringan tahap aktiviti fizikal dan ujian fleksibiiti bahu. Menerusi sesi ini, para peserta dapat mengetahui status terkini tahap kecerdasan dan kekuatan fizikal mereka dan diiukuti dengan konsultasi kesihatan fizikal percuma bersama pensyarah Fisioterapi. Pensyarah-pensyarah fisioterapi yang terlibat dalam konsultasi bersama pejuang kanser payudara ini ialah Prof Madya Dr Maria Justine, Dr Fatim Taherah, Dr Noor Azliyana Azizan dan Pn Sharmila A/P Gopala Krishna Pillai.

Program ini diakhiri dengan aktiviti sukaneka yang dilaksanakan oleh Alumni Fisioterapi UiTM yang juga merupakan fisioterapi di Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam. Aktiviti-aktiviti ini dilaksanakan dengan penuh keceriaan di mana para peserta bersama-sama bersorak dan memberi semangat kepada satu sama lain untuk bertanding dan memenangi acara yang dijalankan. Aktiviti ini turut melibatkan penglibatan ahli keluarga pejuang kanser payudara. Pada akhir sesi ini, setiap peserta diberikan hadiah cenderahati kerana melibatkan diri secara aktif dalam program ini. Program ini berakhir pada pukul 1.00 tengah hari dengan semua yang terlibat mengambil gambar dan berswafoto di petak gambar yang dihiasi dengan poster pink oktober dan jua perhiasan pink. Semua peserta kelihatan gembira dan ramai menyatakan hasrat agar pihak universiti perlu pertingkatkan lagi penganjuran aktiviti sebegini. Akhir kata, penulis berharap agar program sebegini dapat membantu pegidap kanser payudara agar sentiasa cakna dengan status kesihatan fizikal selain memperkasakan minda dan tubuh badan agar kualiti hidup pejuang dan pesakit kanser payudara dapat ditingkatkan.

Laporan disediakan oleh:
AIMAN NADIA AKMAR BINTI RAHMAN
PENGARAH PROGRAM MEMPERKASAKAN PEJUANG KANSER PAYUDARA
Pensyarah Fisioterapi
Fakulti Sains Kesihatan