Program LinkedIn Workshop: Aim for Global Networking Anjuran RAS UiTM SC

Shah Alam, 11 Mei 2024 – Persatuan Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter (RAS UiTM SC) dengan jayanya telah menjalankan program LinkedIn Workshop: Aim for Global Networking yang telah berlangsung pada 11 Mei 2024 di Dewan Sri Budiman, UiTM Shah Alam. Program ini dianjurkan bertujuan untuk mengasuh perkembangan minda pelajar dalam menggunakan media sosial, terutamanya LinkedIn dengan menghubungkan lebih banyak rangkaian profesional dalam bidang masing-masing sebagai langkah persediaan ke alam kerjaya.

Program ini membawakan sendiri wakil yang berkredibiliti daripada LinkedIn sendiri untuk berkongsi serta menyampaikan cara penggunaan LinkedIn dan manfaat-manfaatnya terhadap para peserta yang hadir. Bengkel yang telah disampaikan oleh Cik Sue Lin Lim, Pengarah Akaun Periklanan LinkedIn merupakan inisiatif untuk membantu pelajar menjalin dan memperluaskan rangkaian profesional dalam bidang masing-masing untuk kegunaan akan datang melalui aplikasi media sosial, LinkedIn. Selain itu, pendekatan pengajaran dan perkongsian ilmu secara kolaboratif daripada penceramah jemputan telah membuka satu dimensi dan pengetahuan baru kepada tahap pemahaman dan penerimaan mahasiswa terhadap sesuatu ilmu yang disampaikan.

Dengan penglibatan seramai 166 orang peserta, termasuk mahasiswa UiTM Shah Alam dan para profesional dari pelbagai latar belakang kerjaya dan sektor, bengkel ini telah berhasil memberi pendedahan secara terperinci tentang cara penggunaan platform LinkedIn dan kepentingannya terhadap kerjaya seseorang. Di samping itu, para peserta telah mendapat input serta pendekatan yang bermanfaat daripada penceramah jemputan, Cik Sue Lin Lim tentang tips menggunakan LinkedIn secara efektif untuk mencari peluang pekerjaan dan latihan industri.

Kesesuaian program ini dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang dirangka oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan kesungguhan UiTM dalam menyokong agenda pembangunan mampan. Antara tiga komponen utama Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang ditekankan di dalam bengkel ini adalah SDG 4, iaitu Pendidikan Berkualiti yang meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab peserta. Selain itu, SDG 8 iaitu Pertumbuhan Ekonomi dan Pekerjaan Baik menerusi penggunaan LinkedIn. Akhir sekali, pemerkasaan SDG 17 iaitu Kerjasama Demi Matlamat, di mana program ini meningkatkan kebolehan peserta dalam berkomunikasi secara efektif melalui aktiviti pembinaan pasukan dan sesi bersama.

Inisiatif yang diterajui oleh Persatuan Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter (RAS UiTM SC) ini diharapkan dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada para peserta serta memastikan keberlanjutan dalam menyediakan akses kepada ilmu pengetahuan kepada mahasiswa serta para profesional. Menurut Penasihat persatuan RAS UiTM SC, Ts. Nur Ain binti Mohd Zainuddin, platform LinkedIn bukan sahaja dapat membantu pelajar untuk mencari peluang pekerjaan secara praktikal, malahan platform ini merupakan sebuah platform yang cemerlang untuk meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar. Hal ini amat penting bagi mahasiswa untuk menggunakan platform ini dengan mahir kerana mereka adalah suara generasi muda yang bakal mewakili masa depan negara. Pengarah Program LinkedIn Workshop: Aim for Global Networking, Najwa binti Mohamad Daud turut berkata program ini membuka ruang serta peluang kepada para peserta, terutamanya mahasiswa UiTM untuk mencipta persekitaran yang baharu di mana mahasiswa dapat memperoleh pandangan dan belajar daripada kejayaan dan cabaran dari para profesional mahupun sesama sendiri.

Hal ini dapat dibuktikan melalui agenda pertama dan kedua bengkel ini, di mana Cik Sue Lin Lim memberi pendedahan intipati tentang LinkedIn secara maksimum dan jelas kepada para peserta sewaktu agenda pertama. Kemudiannya, setelah beralih kepada agenda kedua, para peserta telah diberi peluang untuk bertanya soalan kepada Cik Sue Lin Lim semasa sesi Q&A. Sesi ini telah menunjukkan kesungguhan para peserta dalam menerima informasi yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan, sekaligus memperlihatkan bahawa mereka mendengar serta memproses ilmu yang disampaikan secara aktif, bukan pasif. Kesungguhan mereka untuk memahami secara lebih mendalam dengan aktif bertanya soalan dan mengaplikasikan konsep-konsep yang telah dipelajari secara langsung membuktikan keberkesanan program ini.

Secara menyeluruhnya, kejayaan program ini menunjukkan contoh yang baik bagaimana bengkel berilmiah seperti ini dapat memberikan impak yang besar serta positif demi melahirkan mahasiswa atau graduan serta golongan profesional yang bersifat cemerlang dan proaktif dalam pelbagai sektor kerjaya. Diharapkan program seperti ini akan terus diperkukuhkan dan dijadikan contoh bagi program serupa di masa akan datang.

Gambar 1: Presiden Persatuan Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter 2024/2025 (RAS UiTM SC) memberikan ucapan alu-aluan sebagai pembuka program LinkedIn Workshop: Aim for Global Networking.

Gambar 2: Sesi bergambar bersama penceramah jemputan, Cik Sue Lin Lim, Penasihat RAS UiTM SC, Ts. Nur Ain binti Mohd Zainuddin, Presiden RAS UiTM SC 2024/2025, Wan Nur Aishah binti Wan Noor dan para peserta LinkedIn Workshop: Aim for Global Networking di Dewan Sri Budiman, UiTM Shah Alam.