SHAH ALAM, 28 OGOS, 2023- Pembelajaran Bahasa Arab di UiTM dilihat semakin berkembang mutakhir ini. Bermula dengan kursus kemahiran bahasa, UiTM mula menawarkan program akademik sendiri melalui Program Bahasa Arab Komunikasi Profesional. Kini, unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Bahasa (APB) sedang dalam proses menyediakan program Sarjana Kerja Kursus Bahasa Arab yang dijangka akan ditawarkan pada tahun 2024. Melihat perkembangan ini, adalah penting bagi para pensyarah untuk meningkatkan kemahiran pengajaran dalam memastikan kualiti penyampaian yang berkesan. Justeru, kursus pemantapan pengajaran ini adalah suatu keperluan bagi memperoleh pengetahuan mengenai isu dan permasalahan pembelajaran dan pengajaran dalam Bahasa Arab.
APB telah mengadakan program Kursus Pemantapan Pengajaran Bahasa Arab (KPPBA) yang diadakan selama dua hari bermula 28 Ogos 2023 di Hotel De Palma, Shah Alam, Selangor. Kursus ini diadakan bertujuan untuk mengenal pasti strategi dan metodologi pengajaran Bahasa Arab yang berkesan bagi bukan penutur natif serta mendedahkan kepada pensyarah dengan kurikulum dan metodologi yang terkini dan efektif. Program ini dijalankan pada pukul 8.30 pagi hingga 5 petang yang melibatkan seramai 33 orang pensyarah dari Unit Bahasa Arab, Jabatan Bahasa Asia dan Eropah (JBAE). Penceramah jemputan program ini ialah Prof. Dr. Eman Haridy yang merupakan Dekan di Graduate Studies of Education, Universiti Cairo, Egypt.
APB berharap program ini dapat menaikkan semangat dan potensi para pensyarah Unit Bahasa Arab di samping memberikan pengetahuan dan pengalaman baru kepada semua peserta.