11 April 2023, Selasa bersamaan 20 Ramadhan 2023, bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan Sains Gunaan, UiTM Cawangan Kampus Pulau Pinang telah diadakan program Kongsi Rezeki Iftar PPT 2023. Seramai 61 pelajar pra diploma telah diraikan dengan pemberian juadah iftar set nasi ayam masak merah dan minuman teh ais gula merah. Ia adalah hasil kongsi rezeki dari orang awam, pensyarah dan staf khusus untuk para pelajar pra diploma UiTM Cawangan pulau Pinang.
Kongsi rezeki iftar ini adalah satu konsep yang sangat indah yang menggalakkan kita semua untuk berbuat kebaikan berkongsi makanan sempena bulan Ramadhan yang penuh barakah. Menerusi program Kongsi Rezeki Iftar ini, ia sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat kebersamaan dan membina hubungan yang lebih erat terutama antara para pensyarah dan pelajar.
Sebelum pelajar mengambil juadah iftar yang disediakan, Puan Suhaiza Hasan selaku Koordinator PPT sempat juga memberikan taklimat penerapan kepada semua pelajar pra diploma. Taklimat ini penting sebagai persediaan kepada mereka sebelum membuat permohonan penerapan bagi kemasukan ke diploma pada semester Oktober 2023. Usai taklimat, para pelajar terus mendapatkan juadah yang disediakan. Semoga program sebegini dapat memberi manfaat buat semua pelajar dan diteruskan lagi pada masa akan datang.