MUKAH, 11 Mei 2023 – Pusat Pengajian Sains, Perladangan dan Agroteknologi dengan kerjasama Jawatankuasa Surau Ibnu Khaldun (UiTM) Kampus Mukah telah menganjurkan Program Komuniti; Asas Penyembelihan Ayam dan Jualan Amal yang bertempat di Pusat Akuakultur dan Agrotek, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah. Program yang berlangsung selama separuh hari itu telah berjalan dengan jayanya dan mendapat sambutan begitu menggalakkan yang mana seramai 70 orang peserta yang telah menyertai yang terdiri daripada pelajar, staf dan komuniti kawasan Mukah. Turut serta dalam program ini adalah pensyarah dan staf Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Fakulti Sains Gunaan, dan Unit Ladang, Pusat Pengajian Sains, Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Kampus Mukah.
Menurut Encik Muhamad Nasarudin bin Sulaiman selaku ketua program ini berkata program seperti ini dijalankan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta program secara teori dan praktikal berkaitan teknik penyembelihan ayam yang betul dan sah menurut hukum syarak.
Bukan itu sahaja, Encik Muhamad Syukrie bin Haji Abu Talip sebagai penasihat program turut menambah bahawa program kali ini telah di beri nafas baru dengan memberi ruang dan peluang kepada komuniti setempat agar turut serta dalam program yang dianjurkan di samping menggalakkan peserta untuk beramal yang mana sebahagian daripada yuran peserta program akan disalurkan ke dalam tabung sedekah Surau Ibnu Khaldun. Tambahan lagi, para peserta turut di beri percuma seekor ayam yang telah siap di sembelih dan di proses untuk di bawa pulang.
Perasmian program ini telah disempurnakan oleh Penolong Rektor UiTM Mukah, Profesor Madya Dr. Abdul Razak bin Abdul Kadir. Beliau sendiri turut turun padang dengan memberi khidmat sebagai tenaga pengajar bagi memberi penerangan mengenai kaedah penyembelihan yang betul, jenis-jenis peralatan yang digunakan dan haiwan yang boleh di sembelih dengan jelas kepada para peserta yang hadir. Setelah itu, para peserta turut didedahkan dengan demonstrasi penyembelihan oleh Penolong Rektor UiTM Kampus Mukah yang di bantu oleh Ustaz Ahmad Tirmizi, Pegawai Kanan, UHEI UiTM Kampus Mukah. Melalui demonstrasi ini, para peserta dapat melihat proses penyembelihan yang betul serta cara pemprosesan ayam sebelum dibungkus. Selepas itu, para peserta berpeluang merasai sendiri pengalaman menyembelihan ayam dengan dipantau oleh Penolong Rektor UiTM Mukah dan Pegawai Kanan, UHEI UiTM Kampus Mukah.
Akhir sekali, program ini di harap para peserta dapat mempelajari dan mengambil banyak input-input yang berguna agar dapat di praktikkan pada masa-masa akan datang serta dapat melahirkan warga UiTM dan komuniti sekitar Mukah yang memiliki ilmu di dalam amalan masyarakat Islam.