Jumaat, 17 Mei 2024- Program kitar semula yang dinamakan ‘Small Step Big Impact’ telah berjaya dianjurkan oleh persatuan Environmental Health Students’ Association (EHSAn) dari Fakulti Sains Kesihatan, bertempat di Plaza Satelit B UiTM Puncak Alam. Program yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kitar semula dan menjaga alam sekitar ini mendapat sambutan yang sangat meriah daripada para pelajar.
Lebih daripada 400 orang pelajar telah mengambil bahagian dalam program ini, menjadikannya salah satu acara terbesar yang pernah dianjurkan oleh EHSAn. Para peserta telah membawa pelbagai barangan kitar semula seperti botol minuman plastik dan kotak, yang kemudian dikumpulkan dan dihantar ke pusat kitar semula untuk diproses dengan cara yang lebih mesra alam.Sejumlah hampir 250 kilogram barangan kitar berjaya dikutip sepanjang program sehari itu.
Suasana di Plaza Satelit B sangat meriah dengan penyertaan para pelajar yang membawa pelbagai barangan untuk dihantar bagi tujuan kitar semula. Kehadiran yang tinggi serta semangat yang ditunjukkan oleh para pelajar menandakan kepedulian mereka terhadap isu-isu alam sekitar. Dengan kehadiran yang memberangsangkan dan semangat kerjasama yang tinggi, program ini telah membuktikan bahawa usaha kecil seperti kitar semula boleh membawa impak besar kepada kelestarian alam sekitar. Semua barangan yang dikutip akan dihantar ke pusat kitar semula berdekatan dan hasil jualan kemudiannya digunakan untuk aktiviti tabung persatuan.
Program ‘Small Step Big Impact’ bukan sahaja berfungsi sebagai satu platform pengumpulan bahan kitar semula tetapi juga sebagai medan untuk menyemai nilai-nilai murni mengenai tanggungjawab terhadap alam sekitar di kalangan pelajar. Kejayaan program ini diharapkan akan menjadi pemangkin kepada usaha-usaha berterusan dalam memupuk kesedaran dan tindakan proaktif terhadap isu-isu alam sekitar.
Melalui pelbagai aktiviti menarik dan mendidik, program ini telah membuktikan bahawa usaha kecil setiap individu boleh memberikan impak yang besar kepada kelestarian alam sekitar. Kejayaan ini diharapkan akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif hijau di masa hadapan, menjadikan kampus dan masyarakat lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.