Pelancaran Dan Pelepasan (Flag Off) “Pendekar” Kereta Sel Bahan Api Hidrogen UiTM Eco-Centric Shell Eco Marathon 2024

SHAH ALAM – Penghasilan kereta sel bahan api hidrogen “Pendekar” oleh Kelab UiTM Eco-Centric  bakal dipertandingkan di peringkat antarabangsa iaitu “Shell Eco-Marathon Asia-Pacific and the Middle East 2024” yang akan berlangsung pada 2-6 Julai 2024 di Lombok, Indonesia.

Pelancaran dan pelepasan (Flag off) kereta sel bahan api hidrogen “Pendekar” telah disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib@Sahibuddin bersama Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Kejuruteraa, Profesor Ir Ts Dr Hamidah bin Mohd Saman pada 6 Jun 2024 di ruang legar Canseleri Tuanku Syed  Sirajuddin UiTM.

Shell Eco-marathon ialah program akademik global yang memfokuskan kepada pengoptimuman tenaga dan merupakan salah satu pertandingan bidang kejuruteraan pelajar yang terkemuka di dunia. Penghasilan inovasi “Pendekar” ini menandakan satu langkah besar yang telah dilaksanakan oleh UiTM dalam usaha untuk membangunkan kenderaan  tenaga hijau dengan penghasilan karbon minimum sejajar dengan  pencapaian objektif Indikator Matlamat Pembangunan Mampan ke-7 serta menyokong hala tuju Malaysia didalam Pelan Hala Tuju Teknologi dan Eknonomi Hidrogen (HETR). Kereta sel bahan api hidrogen ini dibangunkan oleh pasukan UiTM Eco-Sprint yang terdiri daripada 15 pelajar Kolej Pengajian Kejuruteraan, UiTM dengan dokongan Penasihat Pakar Bidang Kelab UiTM Eco-Centric, Ts. Dr. Mohamad Farid Misnan dan kerjasama hebat daripada Myrenegry Sdn. Bhd. serta para alumni UiTM Eco-Sprint. Penggunaan hidrogen sebagai bahan api alternatif diharapkan dapat mengurangkan pelepasan karbon dan menyumbang kepada alam sekitar yang lebih bersih dan sihat.

Objektif penghasilan “Pendekar” adalah untuk membuka peluang kepada ahli pasukan yang terlibat untuk menyelesaikan masalah teknikal dalam penghasilan kenderaan tenaga efisien menggunakan penyiasatan, teknik, sumber serta alatan sedia ada dan juga untuk menguasai kemahiran pembangunan automotif teknologi terkini. Pada masa yang sama, usaha untuk menghasilkan  “Pendekar” dapat menonjolkan kemampuan pelajar UiTM ke peringkat antarabangsa dan seterusnya menjadikan UiTM ke arah “Globally Renowned Locally Rooted University”.