Selangkah Menuju ke IPT adalah satu program yang telah berjaya dilaksanakan pada 24 April 2024 bertempat di UiTM Kampus Raub, Pahang. Program ini dianjurkan oleh kumpulan Human Prosper Allies di bawah pembiayaan Geran Penyelidikan Impak Komuniti (GPIK) bagi tujuan aktiviti khidmat masyarakat dan pemindahan ilmu. Seramai 35 orang pelajar Orang Asli dari tiga buah sekolah yang terlibat termasuk Sekolah Menengah Tengku Kudin, Sekolah Menengah Perempuan Methodist Raub, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud. Kesemua peserta program merupakan pelajar di tingkatan 4 dan 5 yang akan menamatkan persekolahan dan diharapkan akan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Antara objektif program ini adalah untuk berkongsi peranan UiTM dalam membentuk keperibadian, menambah ilmu pengetahuan dan motivasi di kalangan pelajar Orang Asli ke arah kecemerlangan. Selain itu, melalui program ini pelajar Orang Asli mendapat mendedahan awal tentang kehidupan sebenar di universiti dan maklumat yang lebih jelas mengenai kepentingan melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi, serta membuka minda mereka untuk belajar bersungguh-sungguh. Para pelajar dibawa ke Kampus Raub seawal pagi dengan diiringi oleh guru-guru kaunseling masing-masing. Bagi menjayakan program ini, 10 orang warga Pusat Pengajian Perniagaan dan Perbankan UiTM Kampus Raub telah memberikan komitmen yang baik untuk membimbing pelajar Orang Asli melawat sekitar kampus dan menjalankan aktiviti Latihan Dalam Kumpulan.
Di kesempatan ini, Encik Muhammad Zainuddin Bin Mohamed Azudin, pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan selaku Penyelaras Unit Kepimpinan Pelajar berkongsi maklumat berkenaan program-program yang ditawarkan oleh UiTM. Taklimat ini bertujuan menyalurkan maklumat yang tepat tentang program akademik dalam seluruh sistem UiTM. Adalah difahami bahawa setiap pelajar mempunyai minat yang berbeza-beza maka, pelajar diberikan peluang untuk bertanyakan soalan berkaitan program-program yang mereka minati. Sebagai salah satu Institusi Pengajian Tinggi terbesar di Malaysia, UiTM menyediakan pelbagai bidang pengajian dan pengkhususan yang bersesuaian dengan minat dan kebolehcapaian untuk semua pelajar lepasan SPM. Ada beberapa program yang dikongsi oleh penceramah bersesuian dengan komuniti mereka. Sesi perkongsian ini berupaya membantu agar pelajar Orang Asli mendapat tempat dan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Perkongsian ini amat bermanafaat kerana membantu merungkai pelbagai persoalan yang membelenggu dan bermain-main di fikiran mereka disamping menangkis pelbagai persepsi negatif yang timbul sebelum ini.
Program ini diserikan juga dengan kemunculan alumni UiTM Cawangan Pahang iaitu Cik Norliha Sharuddin yang juga merupakan seorang bekas pelajar dari komuniti Orang Asli. Beliau telah berjaya menamatkan pengajian dalam kursus Diploma Pengajian Perniagaan pada tahun 2015 di Kampus Raub. Kini, Cik Norliha berkhidmat sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat kecantikan di Bahau, Negeri Sembilan. Penampilan istimewa Cik Norliha dilihat sebagai usaha untuk menarik minat pelajar Orang Asli untuk lebih terbuka tentang perancangan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Beliau telah berkongsi pengalaman sepanjang pengajian di Kampus Raub seperti aktiviti kuliah, tugasan, hubungan dengan rakan-rakan dan para pensyarah. Dalam sesi perkongsian tersebut, beliau menceritakan cabaran yang ditempuhi sepanjang pengajian selama 3 tahun bermula dari Program Pra Perdagangan, Program Diploma sehingga tamat graduasi. Sebagai salah seorang pelajar Orang Asli di kampus, beliau tidak terkecuali berdepan dengan pelbagai cabaran. Namun, berkat ketekunan dan sikap yang positif, beliau berjaya mengharungi segala ujian dan cabaran sehingga berjaya menamatkan pengajian dan memperbaiki taraf sosio ekonomi keluarga. Beliau merupakan contoh terbaik kepada pelajar Orang Asli di mana mereka dapat melihat sendiri bukti di depan mata di mana komuniti Orang Asli juga boleh berjaya sebagai pelajar di IPT.
Bagi memberikan keseronokan dan menambahkan semangat program, pelajar Orang Asli seterusnya diminta untuk terlibat dalam aktiviti Latihan Dalam Kumpulan. Tiga aktiviti yang dijalankan bertujuan memupuk semangat kerjasama berkumpulan dan kemahiran dalam membuat keputusan. Para pelajar dilihat begitu gembira dan ceria menjalani aktiviti tersebut. Ada di antara mereka yang pada awalnya kelihatan sedikit malu namun berjaya menyesuaikan diri dan berkomunikasi dengan baik bersama rakan sepasukan. Pelajar dikumpulkan dalam empat kumpulan dan kesemuanya menerima hadiah sebagai tanda penyertaan dalam aktiviti tersebut.
Program diakhiri dengan acara perasmian penutup oleh Ketua Pusat Pengajian FPP Dr Nurul Nadia Abdul Aziz. Beliau sempat menitipkan agar aktiviti khidmat masyarakat seumpama ini diteruskan dan kerjasama yang baik di antara UiTM dan sekolah-sekolah sekitar Raub dapat dikekalkan pada masa akan datang. Usaha ini amat penting untuk memastikan keberadaan UiTM di Kampus Raub dirasai oleh penduduk Raub khususnya dan menyumbang manfaat kepada komuniti setempat. Kami, ahli kumpulan Human Prosper Allies mengucapkan jutaan terima kasih kepada kaunselor dan guru-guru sekolah yang terlibat di atas usaha sama dan komitmen yang diberikan. Adalah diharapkan agar motivasi para pelajar Orang Asli untuk meneruskan pengajian mereka di peringkat lebih tinggi sentiasa dimarakkan. Kumpulan kami berhasrat untuk mengadakan satu lagi program lawatan ke Sekolah Menengah Santak, iaitu sekolah menengah khas untuk komuniti Orang Asli untuk memastikan keberkesanan program ini tercapai.