Program Khidmat Masyarakat Korban dan Wakaf Telaga Kemboja merangkul Anugerah Projek Pembangunan Komuniti Lestari Terbaik 2023

Melaka 28 Februari 2024 – Program Pengantarabangsaan Khidmat Masyarakat Korban dan Wakaf Telaga di Kemboja Siri III telah merangkul Anugerah Projek Pembangunan Komuniti Lestari Terbaik 2023 bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Inovasi 2023 UiTM Cawangan Melaka. Majlis yang telah diadakan dengan gilang-gemilang di Grand Swiss-Belhotel Melaka itu bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan warga UiTM Melaka yang telah bertungkus-lumus melonjakkan nama UiTM Cawangan Melaka dalam pelbagai bidang termasuk akademik, penyelidikan dan penerbitan, jaringan industri, khidmat komuniti dan keusahawanan.

Program khidmat masyarakat yang diketuai oleh Encik Mohd Isham Abidin itu merupakan anjuran Persatuan International Business Unity Club (IBUC) dengan kerjasama dari beberapa persatuan lain seperti Kelab Sukarelawan Zakat (SUZA), Finance Student Association (FINEST), Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Unit Waqaf, Zakat dan Infaq (EL-WAZIF), Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Kelab Warisan Budaya (KWB), Kelab Pemimpin Muda (KPM), JawatanKuasa Perwakilan Pelajar Non-Residen (JPNR), Marketing Student Association (MASA), Hotel & Tourism Management (HOTOUR), Office System Society (BOSS) dan Human Resource Society (HURES) dari UiTM Cawangan Melaka.

 

Melalui projek tersebut, pelbagai barangan serta wang tunai telah berjaya dikumpul menjadikan nilai sumbangan keseluruhan sebanyak RM65000. Projek yang telah dijalankan di Phnom Penh, Kemboja itu telah memberi impak yang sangat besar kepada masyarakat Muslim di sana. Melalui pembinaan beberapa telaga air, masyarakat Muslim di kawasan tersebut dapat menikmati sumber air yang lebih bersih untuk tujuan kegunaan harian.

Antara sumbangan lain yang telah diserahkan dan program yang dijayakan adalah seperti menjalankan ibadah korban, pembelian sistem solar, pembelian telekung, Al-Quran, pakaian serta barangan keperluan harian. Sekumpulan sukarelawan yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar telah mewakili pihak penganjur dan UiTM Cawangan Melaka bagi menyempurnakan amanah rakyat Malaysia yang ingin bersama-sama meringankan beban kehidupan yang dilalui oleh masyarakat Muslim di Kemboja terutamanya di kawasan perkampungan Phnom Penh.