Program Khidmat Masyarakat: Fostering Innovators of the Future Among Secondary School Students Anjuran Unit Sains Komputer, Pusat Asasi UiTM Dengkil

Dengkil, 27 April 2024 – Susulan daripada kejayaan Program Khidmat Masyarakat: “IEEE SPS Tech Camp for Students and Teachers in Dengkil” yang dianjurkan oleh Unit Komputer Sains, Pusat Asasi UiTM Dengkil di bawah tajaan IEEE Signal Processing Society (SPS) pada 9 hingga 10 September 2023 dahulu, Program Khidmat Masyarakat: “Fostering Innovators of The Future Among Secondary School Students” telah dijalankan bermula 18 Mac 2024 hingga 27 April 2024. Program ini adalah kesinambungan program terdahulu di mana pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil yang terlibat dalam menyediakan penyertaan pelajar dan guru menyatakan hasrat untuk meneruskan program yang berkisarkan pembelajaran STEM ini ke peringkat selanjutnya, iaitu pengkomersilan.

Mengambil kira hasil inovatif para pelajar SMK Dengkil yang terlibat dalam pembangunan produk Arduino tahun lalu, pihak penganjur bersama pihak SMK Dengkil telah memilih sebelas kumpulan pelajar yang berpontensi untuk ditambah baik hasil rekaan mereka bagi tujuan pertandingan dalam bidang pengkomersilan. Pada program khidmat masyarakat kali ini, 20 orang penasihat yang terdiri daripada para pensyarah Unit Sains Komputer, Pusat Asasi UiTM Dengkil telah dilantik sebagai mentor bagi membimbing para peserta dalam rekaan produk STEM sebagai produk inovasi sesuai bagi pengkomersilan selain membimbing dalam pembentangan. Bagi mencapai objektif program kali ini, pihak penganjur telah membawa kesemua produk yang terpilih menyertai program Creations De UiTM (CDU) yang turut dianjurkan oleh UiTM Kampus Dengkil.

Program ini merupakan sebuah medium yang mempamerkan hasil rekaan dan inovasi dari seluruh Malaysia melalui konsep pertandingan. Kesemua sebelas kumpulan yang terdiri daripada 52 orang pelajar SMK Dengkil dengan diiringi lima orang guru telah membawa hasil produk STEM masing-masing bagi dipertandingkan di program CDU 2024 yang diadakan pada 27 April 2024.

 

Setiap kumpulan telah dinilai oleh dua orang juri luar yang dilantik dari institusi akademik dan industri. Melalui tunjuk ajar dan bimbingan para mentor dari Unit Sains Komputer, Pusat Asasi UiTM Dengkil, para pelajar bagi setiap kumpulan perlu membentangkan hasil rekaan dan inovasi mereka melalui poster dan demontrasi prototaip yang dibangunkan. Terdapat tiga kumpulan yang telah dipilih sebagai pemenang di CDU 2024. Produk inovasi ‘Smart Dustbin’ yang diketuai oleh adik Nur Syahira Binti Abqari Luthfi Albert telah mendapat tempat pertama, disusuli dengan produk ‘Smart Stick Blind’ yang diketuai oleh adik Nur Widya Amira Binti Azri sebagai pemenang tempat kedua dan produk ‘Smart Distance Measurer’ yang diketuai oleh adik Ambaarrish Velan A/L Jeva di tempat ketiga.

   

Program ini telah membuktikan minat para pelajar sekolah terhadap inovasi dan sistem pengkomputeran di mana pihak sekolah mencadangkan kesinambungan program yang bermula pada tahun lepas. Melalui idea dan hasil rekaan inovasi para pelajar sekolah ini, sedikit sebanyak telah mencetuskan minat para pelajar terhadap pembelajaran STEM, sekaligus memberi impak dalam pemilihan bidang berkaitan STEM yang peratusannya kian menurun. Melalui program ini juga, hubungan baik antara institusi Pendidikan dan komuniti setempat telah Berjaya dijalinkan. Adalah diharapakan program sebegini sentiasa mendapat sokongan pengurusan UiTM serta mendapat sambutan dari Masyarakat untuk manfaat bersama.