8 Oktober 2023 – Satu program Khidmat Masyarakat telah diadakan bertempat di Sik, Kedah. Program Khidmat Masyarakat ini adalah menjurus kepada menyantuni permintaan yang disuarakan oleh pihak pengurusan Madrasah Muhammadiah kepada Pengajian Kejuruteraan Elektrik (PKE) UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) melalui surat rasmi bertarikh 29 September 2023.
PKE UiTMCPP yang diketuai oleh Dr. Rozan Boudville selaku Pengarah Program bersama 16 staf PKE yang lain telah hadir ke premis Madrasah Muhammadiah bertempat di Kg Charok Tala, Jeneri, Sik, Kedah. Program ini juga melibatkan kerjasama dengan NGO Warga Kilang dimana kesemua perkakas bagi proses pendawaian elektrik ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak NGO. Namun, PKE UiTMCPP telah pun membuka tabung bagi mengutip dana sumbangan/ sedekah untuk disalurkan kepada Madrasah Muhammadiah bagi membantu menampung operasi madrasah ini. Sebanyak RM1,300.00 berjaya dikumpul dalam masa 2 hari dan sumbangan ini adalah hasil kutipan/ sedekah dari kalangan staf PKE UiTMCPP sendiri.
Program yang dilaksanakan pada hujung minggu ini telah mencapai target yang telah ditetapkan. Secara dasarnya, sebanyak 5 buah rumah telah berjaya disiapkan. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah pendawaian elektrik serta pemasangan kipas, lampu dan soket untuk setiap rumah. Program sebegini bukan sahaja dapat membantu merealisasikan permintaan pihak pengurusan Madrasah Muhammadiah, malah, secara tidak langsung dapat meningkatkan ketampakan UiTM di mata masyarakat sebagai sebuah universiti yang prihatin dan mempunyai warga yang berjiwa murni. Tahniah dan syabas diucapkan kepada PKE UiTMCPP atas usaha murni yang diberi.