PROGRAM KEUSAHAWANAN SOSIAL : DARI KLINIK PERGIGIAN UiTM KEPADA MASYARAKAT SETEMPAT

MASJID TANAH, 28 OKTOBER 2023 – Program Khidmat Masyarakat hasil Keusahawanan Sosial telah dijalankan dengan jayanya oleh pelajar tahun 4, Sarjana Muda Pembedahan Pergigian Fakulti Pergigian UiTM Sungai Buloh. Program ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Praklinikal Fakulti Pergigian UiTM dengan kerjasama Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED, UITM).

Program ini merupakan sebahagian daripada program Karnival Dental Sure Havoc 2.0 yang melibatkan aktiviti keusahawanan dan khidmat masyarakat. Program ini melibatkan 4 orang penyelia yang terdiri daripada pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Praklinikal Fakulti Pergigian UiTM Fakulti Pergigian UiTM, bersama 74 orang pelajar. Meneruskan objektif yang sama dari siri pertama, iaitu meningkatkan kreativiti pelajar dalam menjayakan idea perniagaan mereka, ditambahbaik dengan penerapan aktiviti khidmat masyarakat, program kali ini berfokuskan untuk memberi impak positif kepada masyarakat setempat.

Program khidmat masyarakat ini dimulakan dengan aktiviti senamrobik dan sukantara bersama anak-anak dari PASTI Luqman Al Hakim, Masjid Tanah Melaka, berkonsepkan STEM, dimeriahkan dengan aktiviti tarik tali oleh bapa-bapa anak-anak PASTI yang begitu ‘sporting’ untuk bersaing bersama pelajar-pelajar lelaki tahun 4 Fakulti Pergigian, lukisan mural bertemakan “penyu pulang ke laut”, pembersihan kolam penyu dan diakhiri dengan aktiviti melepaskan anak-anak penyu yang baru menetas di jeti Pantai Tanjung Bidara.

Pengarah program, iaitu saudara Ahmad Arham Hakimi Bin Azhar mengucapkan syukur ke hadrat Illahi kerana dapat menyempurnakan program ini dengan jayanya walau dalam kesibukan sesi pembelajaran dan klinik. Program ini juga telah berjaya memupuk sikap kepimpinan dalam diri setiap pelajar serta secara tidak langsung merapatkan silaturrahim antara mereka. Menurut Arham lagi, beliau berpuas hati kerana dapat berkhidmat kepada masyarakat. “Ini adalah satu contoh latihan kepada kami, sebelum kami melangkah keluar sebagai seorang doktor pergigian di masa akan datang. Banyak lagi cabaran yang perlu kami tempoh selepas ini”.

Pegawai di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, serta Puan Gayah binti Yusoh yang mewakili PASTI, amat berpuas hati dengan aktiviti yang telah dijalankan dan berharap agar aktiviti seperti ini dapat dijalankan lagi di masa akan datang. Selain itu, pihak penganjur juga berharap dengan berakhirnya program ini, objektif program yang digariskan telah dapat dicapai dengan jayanya. Akhir sekali, program khidmat masyarakat ini sekaligus telah mewujudkan hubungan yang baik di antara universiti dan komuniti setempat. Diharap lebih banyak aktiviti seperti ini dapat dijalankan oleh Fakulti Pergigian, UiTM di masa akan datang.