Program Kemasyarakatan “Escape The Ordinary!” anjuran Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTMCNS Kampus Kuala Pilah dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTMCNS Kampus Kuala Pilah

KUALA PILAH, 25 Februari 2023 – Akademi Pengajian Bahasa (APB) Kampus Kuala Pilah UiTM Cawangan Negeri Sembilan (UiTMCNS) dengan kolaborasi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTMCNS telah menganjurkan program kemasyarakatan “Escape The Ordinary!” sebagai program terbuka bersempena cuti sekolah kepada pelajar sekolah berumur 10 hingga 15 tahun di daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Seramai 15 jawatankuasa pensyarah daripada Akademi Pengajian Bahasa, Kampus Kuala Pilah dan 29 orang jawatankuasa pelajar mewakili MPP yang bertindak sebagai fasilitator dalam program ini.

Program ini telah dianjurkan secara fizikal yang meliputi sesi perkongsian bersama penceramah jemputan iaitu Puan Najwa Latif (Selebriti/ Pensyarah) dan Cik Mizana Madon (Mantan MPP UiTM CNS) serta sesi latihan dalam kumpulan (LDK). Program ini merupakan salah satu inisiatif APB Kampus Kuala Pilah serta MPP UiTMCNS untuk mendekati pelajar sekolah di daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan pasca pandemik Covid-19.

Namun begitu, program ini turut disertai oleh para pelajar dari luar daerah Kuala Pilah seperti daerah Seremban, Rembau dan melangkaui sempadan negeri kerana terdapat juga peserta dari Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Umum mengetahui, sepanjang tempoh pandemik Covid-19, pelajar telah mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di kediaman masing-masing secara dalam talian. Oleh itu, program ini telah dirancang bagi mengisi masa lapang pelajar semasa cuti sekolah melalui aktiviti berbentuk fizikal seperti treasure hunt dan sesi perkongsian ilmu selain daripada memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali UiTMCNS Kampus Kuala Pilah dengan lebih dekat.

Selain daripada itu, mengambil tema program “Creating Value Through Communication”, pelajar telah didedahkan dengan aktiviti yang dapat membantu mereka untuk membudayakan kaedah komunikasi yang baik dan berkesan secara bersemuka dalam kalangan peserta. Secara khususnya, objektif program adalah seperti berikut:

1. Memberi kesedaran tentang kepentingan komunikasi yang berkesan dalam kehidupan seharian pelajar.
2. Meningkatkan kebolehan berkomunikasi dalam kalangan pelajar.
3. Meningkatkan keyakinan diri dalam berkomunikasi dalam kalangan pelajar.
4. Memberi peluang kepada pelajar UiTM Kampus Kuala Pilah untuk melibatkan
diri dalam program kemasyarakatan terutamanya yang melibatkan masyarakat setempat.
5. Menyediakan platform bagi jaringan kerjasama di antara UiTM, masyarakat dan
agensi luar.

Bagi mendapatkan penyertaan, pelbagai promosi telah dijalankan seperti promosi secara dalam talian melalui pengedaran poster program kepada sekolah-sekolah dan wakil jawatankuasa masyarakat bagi menarik minat ibu bapa dan pelajar untuk menyertai program ini. Program ini mensasarkan 60 pelajar sekolah yang berumur 10 sehingga 15 tahun dan sasaran tersebut telah berjaya diperolehi dengan keterlibatan 60 pelajar berikutan yuran yang dikenakan hanya RM35 untuk setiap peserta. Melalui program ini Akademi Pengajian Bahasa, Kampus Kuala Pilah telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM2,100. Program ini telah mendapat respon positif daripada ibu bapa dan peserta-peserta yang terlibat.

Semoga program ini dapat memberi pendedahan kepada staf dan pelajar UiTMCNS, Kampus Kuala Pilah dan memberi manfaat kepada para peserta program Escape the Ordinary! dalam usaha bersama untuk menjayakan transformasi sosial dan kesejahteraan masyarakat.