Program Kemasyarakatan bersama Komuniti Setempat : Pengindahan Taman Paya Bakau Bandar Lumut Inisiatif Inisiatif UiTM Cawangan Perak & Majlis Perbandaran Manjung

LUMUT – Pada Sabtu, 13 Januari 2024, Taman Rekreasi Paya Bakau Bandar Lumut menjadi saksi kepada inisiatif yang dilaksanakan oleh 83 orang pelajar Kokurikulum Subjek Khidmat Masyarakat dari Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi serta Kolej Pengajian Seni Kreatif Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar. Program ini, yang diketuai oleh Dr. Lizawati Abdullah dan Encik Khalik Mustafa, Jurulatih Khidmat Masyarakat UiTM Kampus Seri Iskandar, telah mendapat sokongan dan kolaborasi daripada Tuan Haji Abdul Razak Nazri, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 4 (Lumut), serta Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung.

Objektif utama program ini adalah untuk memenuhi keperluan subjek kokurikulum Khidmat Masyarakat mahasiswa sambil memberikan khidmat bakti kepada pihak Majlis Perbandaran Manjung. Usaha ini turut bertujuan untuk meningkatkan keindahan kawasan Taman Rekreasi Paya Bakau, sekaligus memberikan pengalaman praktikal kepada pelajar dalam mengasah kemahiran insaniah mereka untuk alam sekitar.Program ini adalah langkah proaktif untuk membuktikan bahawa pendidikan tidak terbatas di dalam dinding universiti. Mahasiswa kami mampu membawa nilai-nilai bergotong-royong dan kecintaan kepada alam sekitar ke dalam masyarakat.”

Tuan Haji Abdul Razak Nazri memberikan pujian kepada inisiatif UiTM Cawangan Perak dalam program pengindahan Taman Rekreasi Paya Bakau Bandar Lumut. Beliau menekankan pentingnya kerjasama antara universiti dan pihak berkuasa tempatan sebagai kunci kejayaan projek pembangunan yang mampan. Program ini tidak hanya memberi manfaat kepada mahasiswa, tetapi juga menambah nilai kepada kawasan rekreasi yang popular di kalangan penduduk tempatan. Dengan fokus pada keindahan landskap hutan paya bakau, pelajar UiTM Perak juga turut menyumbang kepada kempen Tahun Melawat Perak 2024, memberikan nilai tambah kepada tarikan ekopelancongan.

Sebagai penutup program, Tuan Haji Abdul Razak Nazri menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, sambil merakamkan harapan agar inisiatif semacam ini dapat diteruskan dan dijadikan contoh oleh institusi pendidikan lain. Dengan kata-kata pemangkin yang sering terdengar, “Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan,” beliau merayakan semangat gotong-royong dan kerjasama dalam membentuk masa depan yang lebih lestari dan berwawasan alam. Pernyataan ini mencerminkan keyakinan akan kekuatan kemahuan dan kolaborasi dalam mewujudkan perubahan positif bagi kelestarian alam dan kehidupan masa depan.

Program pengindahan Taman Paya Bakau Bandar Lumut ini bukan hanya menjadi kejayaan UiTM Perak, tetapi juga menjadi contoh inspiratif untuk usaha-usaha serupa yang mampu menghasilkan impak positif dalam masyarakat dan alam sekitar.