Pada 24 April 2021M bersamaan 12 Ramadhan 1442H (Sabtu) yang lalu, pihak UiTM Cawangan Pulau Pinang melalui Bahagian Penyelidikan Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (PJIM&A) dengan kerjasama Jabatan Sains Gunaan, Institut Pemikir Mahasiswa, dan rakan industri THB Maintenance Sdn. Bhd., Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malayisa (YaPEIM) dan Pak Mat Western Sdn. Bhd. tampil membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan di sekitar kampus. Kami Prihatin 4.0 yang merupakan program tahunan kali keempat ini berjaya mengumpulkan kutipan berjumlah hampir RM40,000 dalam bentuk wang tunai dan keperluan harian.
Program dirasmikan oleh YBhg. Rektor, Profesor Ts. Dr Salmiah Kasolang. Turut hadir adalah wakil-wakil rakan strategik iaitu Tuan Mohd Firdaus Ahmad Termizi, Pengurus Besar THB Maintenace Sdn. Bhd., Tuan Haji Mohd Fauzi Hj Adnan Pengurus Pusat Pentadbiran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Perlis, Kedah dan Pulau Pinang serta wakil Pengarah Urusan Pak Mat Western Sdn. Bhd., Tuan Ibnu Rusd Muhamad.
Seperti tahun lepas, oleh kerana negara masih lagi berdepan dengan wabak COVID-19 maka agihan dijalankan di kampus dengan mematuhi arahan KKM dan aktiviti menyantuni asnaf hanya dilakukan di beberapa rumah sekitar kampus sahaja. Pada kali ini juga, terdapat sedikit perbezaan di mana seramai 180 orang penerima sumbangan yang terdiri daripada pekerja kontrak pembersihan dan landskap turut diberi pendedahan tentang bahaya COVID-19, langkah pencegahan, SOP dan norma baharu serta kepentingan Vaksin dan imuniti kelompok dalam mengawal penularan wabak. Penerangan disampaikan oleh Profesor Madya ChM Dr Nor Aziyah Bakhari yang juga merupakan pengarah program.
Jumlah yang diterima pada tahun ini jauh lebih tinggi dan dapat membantu lebih 350 asnaf. Selain pekerja kontrak pembersihan, sumbangan turut diagihkan kepada asnaf dari sekitar kampus termasuk Komuniti Kampung Tok Kandu, Flat Pauh Indah, Flat Permata di Seberang Perai Tengah, Rumah Jagaan Kasih Abadi di Seberang Perai Utara, Rumah Jagaan al Mahabbah di Seberang Perai Selatan, asnaf di daerah Padang Terap, Kedah dan para pelajar serta staf UiTM yang termasuk dalam golongan asnaf. Walau apapun caranya, diharap program ini dapat memberi sedikit sinar buat mereka yang menerima sumbangan. Sumbangan yang diterima oleh setiap golongan asnaf ini adalah berupa barangan kering keperluan harian yang terdiri daripada beras, minyak, gula, teh dan seumpamanya. Wang tunai turut diberikan berdasarkan situasi dan keadaan keluarga asnaf tersebut sewaktu lawatan ke rumah dilakukan. Sumbangan yang diberi ini diharap dapat membantu asnaf menjalani kehidupan yang lebih baik tatkala Malaysia dilanda COVID-19.
Terima kasih semua yang menyumbang. Moga keberkatan Ramadhan ini milik kita semua. InsyaAllah.