Program Mycareer @ Mohe, Zon Borneo (Sarawak) Buka Peluang Pekerjaan Kepada Graduan IPT

 

(KOTA SAMARAHAN): Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah diberi penghormatan menjadi penganjur utama program MyCareer @ MOHE, Zon Borneo (Sarawak) oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia. Program ini dijadualkan pada 24 sehingga 25 Mei 2021 (Isnin dan Selasa) yang mana ia akan diadakan secara atas talian bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang masih melanda negara ini.

Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan bagi Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia amnya & Sarawak khasnya serta membantu menyediakan para graduan bagi menempuh alam pekerjaan yang mencabar. Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sepanjang program ini seperti temuduga kerjaya, siri webinar bersama panel terkemuka dan ujian kerjaya.

Penganjur bersama bagi program ini adalah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti College of Technology Sarawak (UCTS), Swinburne University Sarawak, i-CATS College University, Centre of Technical Excellence (CENTEXS), Kolej Komuniti Kuching dan Politeknik Kuching manakala Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merupakan rakan strategik bagi Program MyCareer @ MOHE, Zon Borneo (SARAWAK). Terdapat lebih kurang 30 buah syarikat daripada pelbagai industri dijangka akan menyertai program ini kelak.

Semua graduan dijemput untuk mengambil peluang ini bagi mengintai peluang pekerjaan yang sesuai selain berpeluang memperoleh banyak input daripada  syarikat industri yang terlibat serta sesi temuduga atas talian turut akan diadakan.

Sila hubungi pihak penganjur di talian 082-678200, Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) selaku urusetia bagi mendapatkan maklumat lanjut program ini.